• 04 Mei 2024 | 25 Syawal 1445

ADUN Bukan Pegawai Kebajikan Masyarakat


KEMAMAN, 1 Mac - Wakil rakyat Terengganu perlu membina jati diri masing-masing sebagai ahli badan perundangan agar masyarakat tidak menyifatkan mereka hanya sebagai pegawai kebajikan masyarakat semata-mata.

Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Haji Yahaya Ali berkata, wakil rakyat Terengganu khususnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) perlu mempertingkatkan diri dengan menimba ilmu dan pengalaman sehingga sampai peringkat berupaya mengemukakan usul persendirian (private members bill) dalam persidangan DUN.

"Kita mengharapkan di masa akan datang akan ada wakil rakyat berupaya membawa private members bill di DUN sebagaimana di Parlimen pernah dibawa Usul Pindaan Rang Undang-undang 355 (RUU355) tidak lama dulu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemantapan dan Retreat DUN Terengganu di Darul Iman Training Centre (DITC) Teluk Kalong di sini baru-baru ini.


Turut hadir, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli-ahli Jawatankuasa Terpilih DUN, Ahli-ahli Panel Penyelidik DUN, Setiausaha DUN, Zulkifly Isa dan kakitangan DUN.

Haji Yahaya berkata, ADUN memikul tugas yang besar untuk menjadikan DUN sebagai badan legislatif yang aktif, cemerlang dan gemilang lebih baik dari DUN yang lain di seluruh negara.

"Orang melihat ahli-ahli Yang Berhormat bukan sekadar meluluskan, meminda, memansuhkan sesuatu rang undang-undang (enakmen) tetapi orang melihat kehebatan mereka dalam penglibatan secara langsung dalam perbahasan di persidangan DUN," jelasnya.

Katanya, ini bermakna wakil rakyat Terengganu tidak lagi dilihat sebagai wakil rakyat yang seringkali dihubungkaitkan dengan tugas sebagai pegawai kebajikan masyarakat semata-mata.

"Mereka tidak hanya sekadar mengambil tahu hal ehwal rakyat termasuk kemiskinan, musibah, perumahan dan pelbagai  masalah rakyat yang tidak pernah selesai tetapi mereka perlu ingat bahawa mereka adalah ahli badan legislatif.

"Kita adalah salah satu cabang kerajaan, antara tiga cabang terpenting sesebuah kerajaan itu termasuk badan eksekutif, perundangan dan kehakiman," jelasnya lagi.

Katanya, ADUN di Malaysia mungkin masih terkongkong dengan tugasan mereka sebagai wakil rakyat, tidak seperti di negara Barat, mereka melaksanakan tugas utama mereka dengan baik sebagai ahli badan perundangan yang banyak membuat kajian, penyelidikan, home work untuk menggubal undang-undang bagi kepentingan rakyat.

Justeru katanya, ADUN Terengganu perlu fokus dan berfikir bagaimana menjadikan diri mereka sebagai anggota badan legislatif yang terbaik.



Tag: