• 16 Mei 2024 | 8 Zulkaedah 1445

ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir

KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Terengganu perlu menyediakan Rancangan Sokongan (Backup Plan) sebelum Pelan Kontingensi Banjir dilaksanakan di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang bagi mengatasi masalah banjir kilat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan mengadakan rancangan sokongan itu bagi membantu mengurangkan kesulitan rakyat ketika menghadapi bencana tersebut.

Ini kerana katanya Pelan Mitigasi Banjir (Flood Mitigation Plan) bertujuan mengatasi masalah  banjir kilat di kawasan tersebut bagaimanapun  pelan itu masih dalam perancangan pelaksanaan kerajaan.

"Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035 (Pengubahan 1) sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu.

"Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut yang agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau ‘backup plan’ yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun," katanya ketika membahas Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini.

Beliau berkata bencana banjir kilat berlaku di DUN Ladang sebelum ini berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh masa terlalu hampir iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini.

"Jumlah taburan hujan yang agak tinggi telah menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin.

"Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga kerajaan," ujarnya.

Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir itu termasuk mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai.