• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Ahmad Amzad Terkejut Dengan Tuduhan Mujahid



KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim memberitahu beliau terkejut apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof menuduh beliau kononnya tidak hadir ketika soalannya berkaitan isu Tabung Haji dibacakan ketika persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, beliau menyemak semula komunikasi dengan Setiausaha Dewan Rakyat, Datuk Rosmee Hamzah susulan senarai soalan yang dikeluarkan pada lewat petang Rabu (13 Mac) lalu.

 “Saya telah segera menghubungi Setiausaha Dewan Rakyat memaklumkan pada 14 Mac 2019 saya perlu berada di Kuala Terengganu kerana menunaikan tanggungjawab sebagai bapa dan wali kepada anak perempuan saya dalam majlis akad nikah pada tarikh itu.

“Datuk Rosmee telah menyusun balik urutan soalan untuk 14 Mac pada hari berkenaan telah digantikan dengan soalan Yang Berhormat Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff, maka soalan saya sebenarnya tidak timbul dan belum dibaca lagi,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahmad Amzad berkata, sebagai seorang menteri, Dr Mujahid tidak patut mengeluarkan perkataan bagai menuduh dirinya seolah-olah gagal hadir.

“Mengapa beliau perlu merasa panas dan tidak keruan bila diasak untuk menyatakan nama individu yang dilantik sebagai pengerusi, pengarah atau pegawai-pegawai pengurus utama syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan yang menerima pindahan aset berjumlah RM19.9 billion yang asalnya milik Tabung Haji? Sehingga berlarutan jawapan beliau yang jelas bagai mengelak memberi jawapan.

“Logiknya bila ia berkait aset asalnya milik Tabung Haji yang berjumlah RM19.9 billion yang dipindahkan kepada single entiti, bukannya banyak SPV, tentunya sebagai menteri beliau sepatutnya mengambil tahu siapa yang akan kawal dan uruskan,” ujarnya.

Katanya, apabila Dr Mujahid tidak tahu atau mengelak dari memberitahu dewan perkara itu yang sangat menjolok mata.




Tag: