• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Aidilfitri: Terengganu Sedia Hadapi Peningkatan Penggunaan Air

SETIU, 14 April - Kerajaan negeri telah mengatur pelan dan bersiap siaga dalam menghadapi peningkatan penggunaan bekalan air semasa cuti perayaan Aidilfitri minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr Mamad Puteh berkata, langkah itu dilakukan bagi memastikan kemeriahan menyambut Syawal tidak terjejas.

"Kita telah mengarahkan Syarikat Air Terengganu Utara (SATU) supaya menyediakan tangki-tangki statik dan juga kita telah menyediakan sebanyak tujuh Lori untuk bergerak di kawasan yang dijangka akan berlaku masalah ini membabitkan kawasan Marang.

"Jadi penguna di Marang diharapkan dapat menggunakan air secara berjimat cermat dan berhemah," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Program Prihatin Ramadan dan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Setiu, di Masjid Sungai Lerek, semalam.

Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir.

Sementara itu menurutnya, di Setiu dijangka tidak akan mengalami masalah bekalan air kecuali di Pulau Redang.

"Kerana paip kita di sana (Pulau Redang) belum sempurna daripada masalah pecah, jadi kita akan sentiasa melakukan pemantauan dari semasa ke semasa.

"Kerajaan negeri serta SATU telah berbincang supaya masalah berkaitan air di negeri ini dapat diatasi dan akan sentiasa melakukan tindakan proaktif," ujarnya.

Terdahulu, SATU memaklumkan pihaknya akan melaksanakan Pelan Kontingensi Air bagi membendung masalah tersebut berlaku.

Dalam pada itu beliau sempat menitipkan pesanan kepada semua anak Terengganu yang berada di perantauan agar sentiasa mengambil langkah memandu dengan berhati-hati agar selamat pulang ke negeri ini dan meraikan hari lebaran dengan penuh ceria.

"Kita tahu bahawa cuti sekolah bermula Khamis sudah tentu perantau akan pulang bermula Rabu dan pada Khamis dijangkakan akan berlaku kesesakan jalan raya.

"Jadi saya nasihatkan semua pengguna jalan raya pandulah dengan lebih berhati-hati, serta mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur menghadapi pelbagai karenah pemandu yang lain," ujarnya.