• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Air Termenung : DUN Sura Fokus Kawasan Kritikal

DUNGUN, 15 Februari - Dua kawasan kritikal bermasalah air termenung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura telah dikenalpasti berlaku di Kampung Sura Lapangan Terbang dan Kampung Sura Tengah. 

Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Ahmad Faqrukhairi berkata, masalah air bertakung sering berlaku dibeberapa kawasan apabila tiba musim tengkujuh.

"Masalah banjir mungkin tidak berlaku dalam DUN Sura tetapi air bertakung di beberapa lokasi menjadi masalah kepada penduduk," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di sini hari ini. 

Menurutnya, hasil pemantauan mendapati beberapa kawasan kritikal tersebut perlu dibina sistem perparitan seperti longkang. 

Bagaimanapun, sambungnya lagi, kerja perparitan ini telah pun dilakukan di beberapa lokasi dalam DUN Sura dan ianya dapat diselesaikan.

"Sebelum ini, masalah air temenung yang telah lama berlaku dibeberapa kawasan tetapi tidak dapat diselesaikan. Namun, hasil perbincangan saya bersama jabatan berkaitan, alhamdulillah, ianya dapat diselesaikan. 

"Seperti permasalahan longkang dan air temenung di Kampung Tanjung pagar, Kampung Padang Jambu dan lain-lain lagi," ujarnya.

Katanya, kerja perparitan ini mungkin tidak menyelesaikan masalah penduduk, namun meringankan masalah yang ditanggung.

"Jika sebelum ini, paras air memasuki rumah penduduk dan selepas dibuat sistem perparitan, paras air tidak lagi mencecah rumah sekaligus mengurangkan risiko banjir kepada penduduk kecuali kejadian hujan diluar jangkaan," jelasnya.


Tag: