• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Oleh : Nasuha

KUALA NERUS, 26 Mac- Akademi Kepimpinan Al- Fateh tidak melepakan peluang bagi menghidupkan sambutan Ramadan pada kali ini dengan mengagihkan 500 pek bubur lambuk kepada penduduk di daerah ini.

Pengurus Akademi Kepimpinan Al Fateh, Ahmad Mukrim Adnan berkata, melalui kerjasama Masjid Al-Ikhlas, Kampung Banggol Tuan Muda serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat telah berjaya melaksanakan program berkenaan.

"Tujuan kita adalah bagi menghidupkan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki kepada masyarat setempat dan program ini merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR).

"Dengan harapan agar ia dapat menghubungkan jalinan antara Akademi Kepimpinan Al-fateh, komuniti setempat dan alumni Program Kem Impak Belia Darul Iman (KIAM) agar Ramadan pada kali ini lebih bermakna," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di program agihan bubur lambuk berkenaan, di sini, semalam.

Mengulas lebih lanjut katanya, sejak dari pagi pihaknya bersama AJK masjid telah menyediakan bubur lambuk istimewa itu.

"Program ini dijalankan secara one off bermula pada pukul 8 pagi sehingga lima petang dari proses membeli, menyediakan bahan, memasak dan agihan.

"Seramai 30 orang yang terlibat secara langsung dalam program ini dan lebih bermakna Ahli Dewan Undangan Negeri  (ADUN) Buluh Gading turut bersama, " ujarnya.