• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Al-Quran Penyelesaian Segala Masalah


Oleh: Muhammad Najib Ismail

Hulu Terengganu, 23 Mei - Allah SWT memerintahkan kita supaya merujuk kepada al-Quran sekiranya mengalami masalah, kata Ahli Dewan Negara, Senator Dato’ Husain Awang.

Menurutnya, Allah memberi jaminan bahawa jalan yang terbaik dan paling selamat dalam menyelesaikan segala permasalahan dan krisis adalah kembali kepada Islam, iaitu merujuk kepada al-Quran, Sunnah, Ijmak dan Qiyas.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Ceramah Nuzul Al-Quran & Badar Kubra peringkat Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Insfrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Penyelaras Parlimen Hulu Terengganu, Muhyidin Abdul Rashid dan Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera, Mohd Harun Esa.


Husain yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menjelaskan bahawa al-Quran menjadi rujukan yang dapat menyatukan seluruh manusia.

"Ini kerana al-Quran bukanlah ciptaan manusia tetapi ciptaan Allah yang menciptakan segala isi alam semesta ini.

“Sudah tentu apa yang diselesaikan oleh Allah adalah memberikan kepentingan dan keselesaan kepada semua makhluk dan menepati dengan fitrah manusia,"katanya.


Tegas beliau lagi, al-Quran adalah suatu kenyataan yang tegas, bukan gurauan dan tiada keraguan dalam kalam Allah.

Malah kata beliau lagi, percakapan kita hendaklah berlandaskan al-Quran kerana tiada sumber yang lain yang lebih tepat dan betul melainkan al-Quran.



Tag: