• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

AMCARE Tawar Pakej Umrah Murah, Mudah , Selamat

KUALA TERENGGANU, 26 November -  AMCARE Agency yang merupakan ejen zakat Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) kini berkolaborasi dengan anak syarikat AirAsia X iaitu IKHLAS Umrah bagi  pakej umrah yang murah, mudah dan selamat untuk rakyat negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AMCARE, Dato' Muhammad Zahari Harun berkata, inisiatif yang diperkenalkan itu bertujuan untuk membantu rakyat Terengganu seramai mungkin agar dapat mengerjakan ibadat berkenaan dengan harga serendah RM5,990 ribu.

"Kita yakin pakej yang diperkenalkan ini akan mendapat sambutan baik, kerana selepas daripada Covid-19 kita menerima pendaftaran sangat mengalakkan daripada orang ramai dengan bilangan yang cukup besar dan diluar jangka.

"Pakej yang ditawarkan mempunyai banyak keistimewaan antaranya menyediakan pakej penginapan bertaraf lima bintang di Hotel Anjum yang baru siap dibina dan berhubung terus dengan laluan ke gerbang Raja Abdullah yang baru serta mempunyai laluan khas ke Masjidil haram.

"Selain menawarkan pilihan menu asia dan antarabangsa, terdapat juga pelbagai kemudahan seperti mesin ATM, dobi layan diri dan kedai kopi, termasuk Ketua Mutawif yang cukup berpengalaman iaitu Pencetus Ummah (PU) Azihal bangsawan bersama kumpulan mutawif yang bertauliah dan berpengalaman,"ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Majlis Pelancaran Khusus Umrah Perdana dan Bantuan Zakat Ikhlas dengan Kerjasama AMCARE, di Dewa Majis Al Muktafi Billah Shah Ladang (Masjid Ladang), di sini hari ini.

Majlis berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Yang Dipertua MAIDAM, Dato' Shaikh Harun Shaikh Ismail.

Menurut Zahari, rakyat Terengganu yang menyertai pakej umrah yang ditawarkan oleh pihaknya itu tidak perlu risau dan bimbang berlaku penangguhan tarikh ataupun tidak akan timbul masalah keciciran.

"Kerana tarikh yang diberikan merupakan tarikh yang akan ada penerbangan, dan tidak akan timbul isu 'flight delay' dan dari sudut penginapan pihak kita telah menjalinkan perjanjian dengan pemilik hotel Mekah untuk disewa bagi jangka masa yang panjang,"katanya.

Mengenai kursus umrah perdana yang diadakan pada hari ini, menurutnya ia membabitkan 250 hingga 300 peserta yang diberikan pendedahan secara teori dan praktikal mengerjakan umrah dimana kesemua mereka itu merupakan kumpulan pertama yang akan menikmati pakej yang disediakan itu.

"Pada hari ini juga kita telah menyantuni dan mengagihkan sumbangan kepada 100 asnaf Maidan berupa beras dan barang lain kepada mereka dan turut dijemput untuk bersama dalam majlis ini,"ujarnya.


Tag: