• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Amzad Sokong Cadangan Penuaian Air Hujan KASA

 

KUALA TERENGGANU, 21 September- Rakyat Malaysia disaran sentiasa ke hadapan dan terbuka menerima teknologi terkini melalui pelbagai cara daripada pembacaan, pengajian, latihan dan kursus atas talian.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Ahmad Amzad Hashim berkata secara peribadi beliau menyokong kenyataan Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA), Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengenai penuaian air hujan serta menyambut baik cadangan KASA bagi melestarikan penggunaan air selari dengan usaha Sustainable Development Goals anjuran United Nations (UN-SDG 2030) ke arah Positive Carbon Footprint.

“Pelbagai kajian dalam negara dan pelaksanaan di luar negara menunjukkan keberkesanan dan kelestarian penuaian air hujan.

“Antara contoh penuaian air hujan di luar negara ialah pelaksanaan di Frankfurt Airport dan London Olympic Park,” ujarnya dalam satu kenyataan media, semalam. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu menjelaskan, pelaksanaan dan kajian dalam negara telah dibuat oleh Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan (NAHRIM) melalui projek Sistem Penuaian Air Hujan (SPAH)  semenjak tahun 2008 lagi.

Menurutnya, Universiti-universiti tempatan seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) juga telah banyak menjalankan kajian untuk memaksimakan teknologi penuaian air hujan bagi kegunaan domestik, industri dan pertanian.

“Ini kerana, ia merupakan antara inisiatif terbaik untuk kelestarian alam bagi generasi akan datang.

“Saya juga menyokong penuh cadangan Yang Berhormat (YB) Menteri Alam Sekitar dan Air (Dato’ Seri Tuan Ibrahim), mengenai penuaian air hujan dan seterusnya mencadangkan, kita mengukuhkan pelaksanaan dalam negara dengan menggunakan teknologi tempatan yang telah tersedia,” ujarnya.