• 25 Apr 2024 | 16 Syawal 1445

Amzad 'Terbang Pulang' Rai Calon SPM Terjejas

KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pulang terus dari Kuala Lumpur selepas persidangan Parlimen hari ini, semata-mata ingin menyampaikan sendiri bantuan dan memberi semangat kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di Terengganu.

"Saya mendapat maklumat pagi tadi tentang kehadiran calon-calon SPM daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah di sekolah ini dan pelajar Madrasah Moden Terengganu (MMT) Hulu Terengganu yang ditempatkan di SMA Khairiah.

"Jadi, saya rasa walaupun mereka ini daripada parlimen yang lain tetapi apabila calon-calon ini ditempatkan di Kuala Terengganu, kita perlu meraikan dan memberi semangat supaya mereka lebih positif untuk mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di SMA Atas Sultan Zainal Abidin, malam ini.

Dalam majlis ringkas itu, sebanyak RM10,000 disampaikan Amzad kepada empat sekolah berkenaan di mana SMA Mahmudiah menerima RM5,000 dan MMT Hulu Terengganu pula menerima RM3,000. 

Manakala, SMAASZA dan SMA Khairiah masing-masing menerima RM1,000.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Lothman Awang dan Pegawai Pendidikan Daerah, Zailani Sulong.

Tambahnya, sumbangan peribadi tersebut disampaikan bagi menampung apa-apa keperluan berkaitan untuk membolehkan mereka menampung apa-apa yang hilang ekoran banjir.

"Menjadi tradisi saya di parlimen Kuala Terengganu untuk memberikan bantuan kepada calon-calon peperiksaan seperti tajaan tuisyen SPM sebelum ini," katanya.

Terdahulu, seramai 131 calon SPM dari SMA Mahmudiah dipindahkan ke SMAASZA berikutan sekolah mereka dinaiki air, semalam.

41 calon SPM daripada MMT Hulu Terengganu pula dipindahkan ke SMA Khairiah bagi memastikan calon-calon terbabit dapat menjalani peperiksaan dengan tenang.