• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Amzad Yakin Menang Majoriti Lebih Besar

MARANG, 28 Julai - Setelah kembali diumumkan sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, Dato' Ahmad Amzad yakin mampu mencapai kemenangan dengan majoriti yang lebih besar berbanding sebelum ini 40,907 undi.

Beliau yang merupakan Mantan Timbalan Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi Malaysia itu berkata momentum gelombang rakyat tidak mampu dihalang dengan apa cara sekalipun.

''Saya rasa majoriti rakyat Kuala Terengganu sudah tidak sabar lagi untuk memberikan jawapan yang terang benderang mengenai sokongan (kepada Perikatan Nasional) sebagaimana Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

''Dengan menatijahkan majoriti yang cukup besar dan kita menjangkakan kemenangan yang lebih besar lagi kali ini,''ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS Terengganu Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) dan PRK Kuala Terengganu, di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila, malam tadi.

Menjawab dakwaan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang menyentuh mengenai pembatalan kemenangannya, beliau berkata keputusan penghakiman jelas menyebut Yang Arif tidak menamakan sesiapa terlibat dalam dakwaan rasuah.

''Saya rasa Rafizi malas membaca sepatutnya dia baca tentang kandungan keputusan penghakiman itu ada perkataan oleh hakim bahawa tiada dinamakan mana-mana pihak berhubung isu rasuah.

''Jadi bukan PN, bukan saya dan bukan mana-mana pihak, jadi dia malas membaca (harap) tolong rajin membaca,'' ujarnya.

Dalam pada itu ujarnya bagi mengerakkan kempen bagi mendekati pengundi, pihaknya tiada sebarang masalah malah tidak kekok bertemu rakyat kerana itu merupakan rutin harian yang sudah sebati dengan beliau.

''Setiap hari bertemu rakyat cuma dalam rangka kempen saya oleh kerana berlakunya petisyen sebagaimana baru-baru ini sudah tentu semua pihak perlu mengambil langkah berhati-hati.

''Kerana setiap kali berlaku PRK seperti ini ia membabitkan kos yang besar sudah tentu terpaksa ditanggung oleh kerajaan dan menyusahkan rakyat sebenarnya, jadi sebagai calon kita akan berhati-hati,''ujarnya lagi.