Anak Asnaf Terima Sumbangan Istimewa Melalui Projek Baju Raya

KUALA TERENGGANU, 12 Mac – Seramai 60 orang anak asnaf dari daerah Kuala Nerus dan Setiu menerima sumbangan istimewa menerusi Program Projek Baju Raya 2025, yang bertujuan memastikan mereka dapat menyambut Aidilfitri dengan lebih bermakna.  

Menurut Pengerusi AKRAB SUK Terengganu, Zuwislan Awang, penerima bantuan terdiri daripada anak-anak yatim, keluarga miskin, serta mereka yang berpendapatan rendah, bagi membolehkan mereka merasakan kegembiraan Syawal seperti kanak-kanak lain.  

"Kami mahu mereka merasai sendiri pengalaman membeli pakaian raya baharu, menjadikan Aidilfitri mereka lebih istimewa dan penuh kegembiraan," katanya kepada pemberita di Mayang Mall, di sini kelmarin.  

Dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM18,000, program itu bukan sahaja memberikan kegembiraan kepada anak-anak asnaf, malah turut memberi peluang kepada mereka untuk menikmati pengalaman memilih sendiri pakaian raya seperti rakan-rakan sebaya mereka.  

Majlis penyampaian sumbangan tersebut turut diserikan dengan kehadiran Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan, serta Pengerusi PUSPANITA Cawangan Negeri Terengganu, Wan Radziah Wan Mokhtar.  
 

Ujar Zuwislan, setiap anak asnaf menerima bantuan sebanyak RM300 yang diperuntukkan oleh MAIDAM untuk membeli pakaian raya pilihan mereka.  

"Sekiranya ada keperluan tambahan, ibu bapa angkat akan membantu menampung lebihan perbelanjaan di pusat beli-belah ini," tambah Zuwislan.  

Beliau turut memaklumkan bahawa program berkenaan telah memasuki tahun kelima dan akan diteruskan dengan pelbagai inisiatif lain, termasuk Projek Baju Sekolah bagi membantu pelajar mendapatkan kelengkapan persekolahan yang mencukupi.  

"Insya-Allah, program ini akan diteruskan bagi memastikan lebih ramai golongan yang memerlukan mendapat manfaat, terutama dalam aspek kebajikan dan pendidikan," katanya.  

Dengan adanya program seperti ini, diharapkan lebih ramai anak-anak asnaf dapat merasai kemeriahan Aidilfitri tanpa kekangan kewangan, sekali gus menyemarakkan semangat kebersamaan dalam masyarakat.