• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Anak Guru Muncul Pelajar Terbaik STAM 2023

KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Membaca al-Quran sebagai terapi diri setiap kali berhadapan kesukaran dalam pelajaran membuahkan hasil buat anak seorang guru apabila dinobatkan pelajar terbaik Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2023 untuk negeri Terengganu.

Pelajar Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAAZA) Nik Abdullah Hanif Nik Mohd Akbari, 19, berkata, dia sebak dan bersyukur kerana usaha keras dan tumpuan sepenuhnya ketika belajar akhirnya membuahkan hasil.

Beliau yang juga penghafaz 30 juzuk al-Quran berjaya memperolehi sembilan Mumtaz dan satu Jayyid Jiddan antara tujuh pelajar cemerlang STAM Terengganu 2023 yang diumumkan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) di sini hari ini.

Berkongsi resepi kejayaannya, dia berkata penumpuan terhadap setiap mata pelajaran yang diajar oleh ustaz atau ustazah ketika dalam kelas menjadi amalannya sejak awal termasuk menghafalnya kembali selepas itu.

“Tiada rahsia sebenarnya, cuma belajar bersungguh-sungguh, kena hafal daripada awal dan sebelum peperiksaan kita kena ulang balik apa yang kita hafal sebelum ini… bukan saat akhir baru nak buat.

“Subjek STAM bukan sahaja memerlukan hafalan tetapi juga pemahaman sebab itu kena tekun dan usaha dengan sunguh-sungguh,” katanya kepada pemberita.

Anak kepada pasangan guru itu juga berkata terdapat juga hari-hari yang dia merasakan putus asa dan sedih namun tidak membiarkannya mempengaruhi diri sehingga menjejaskan pengajian.

“Pernah rasa  ‘down’…putus asa tapi akan telefon Umi (ibu) Mariam Jameelah Ishak, 40, minta nasihat dan semangat termasuk dengan kawan dan juga para guru supaya kembali kuat,” ujarnya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang Muamalat di Universiti Madinah.

Pada tahun ini, Nilai Gred Purata Negeri Terengganu ialah 2.79 mengatasi Nilai Gred Purata Kebangsaan 3.09 dengan perbezaan nilai sebanyak 0.30 dan peningkatan nilai 9.7 peratus.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Nor Aidil Syawani Mohd Rowazi, 19 yang memperolehi lapan Mumtaz, satu Jayyid Jiddan dan satu Jayyid menyifatkan kecemerlangan itu adalah untuk membalas jasa kedua ibu bapanya selama ini.

"Alhamdulillah, terima kasih atas sokongan semua guru-guru sehingga saya boleh mencapai kejayaan ini. Namun begitu, fokus belajar macam mana pun, hubungan dengan ALLAH SWT kena jaga, itu yang penting,

“Kejayaan ini akan mencetus motivasi untuk terus berjaya dalam menyambung pelajaran dalam bidang syariah ke Madinah nanti," katanya.