• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

Anak Tuaran Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT

KUALA NERUS, 22 Oktober - Anak juruteknik antara graduan yang menerima Ijazah Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian dan diraikan pada Majlis Konvokesyen Ke-21 Universiti Malaysia Terengganu (UMT) , di sini, hari ini.

Brendon Vun Man Fook, 24, dari Tuaran, Sabah juga merupakan penerima Anugerah Pingat Emas Canselor yang disampaikan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang merupakan Canselor UMT pada sidang pertama majlis konvokesyen berkenaan di Dewan Sultan Mizan, UMT.

Brendon Vun berkata, dia mendedikasikan anugerah itu kepada bapa, Vun Fook Nam @ Peter dan ibunya Lisda Lutong yang juga suri rumah serta para pensyarah kerana tidak jemu membantu serta mendorongnya sehingga tamat pengajian.

“Saya sangat gembira, pencapaian ini di luar jangkaan saya dan bersyukur kerana diberi peluang untuk menjadi Penerima Anugerah Pingat Emas Canselor UMT,” ujarnya kepada pemberita.

Anak kedua dari lima beradik itu adalah antara 2,388 graduan UMT yang diraikan dalam Majlis Konvokesyen Ke-21 yang berlangsung selama enam sesi bermula hari ini hingga Selasa depan.

Berkongsi kisah, Brendon Vun berkata, di UMTlah dia menggunakan sepenuhnya peluang yang ada dan memperoleh pencapaian akademik yang sangat cemerlang dengan meraih Sijil Kepujian Dekan sebanyak enam semester sepanjang tempoh pengajian. 

“Dulu dulu saya kurang sedikit dari segi belajar sebab bagi saya yang dari luar bandar ini, isu pendidikan di pekan tempat saya tinggal agak mencabar.

“Kita budak luar bandar, kurang ‘role model’, jadi bila dapat peluang sambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi, saya mula ‘expose’ dan cabar diri bahawa pendidikan itu sepatutnya diterima sama rata oleh semua dan saya sangat bertuah pensyarah UMT banyak mainkan peranan dan setiasa beri peluang dan sokong pelajar," ujarnya.

Brendon Vun berkata, dia memulakan pendidikan awal di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Sin, Tuaran, dan seterusnya menyambung persekolahan ke peringkat menengah di Sekolah Menengah St. John, Tuaran. 

Kecemerlangan yang diperoleh dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah melayakkannya melanjutkan pelajaran di Kolej Matrikulasi Labuan seterusnya menyambung pengajian dalam program Sarjana Muda Sains (Biologi Marin) dengan kepujian di Fakulti Sains Sekitaran Marin (FSSM), UMT pada sesi akademik 2019/2020. 

Bukan itu sahaja, Brendon Vun juga telah beberapa kali mewakili negara ke peringkat antarabangsa dengan menyertai Intravarsity Leadership Programme 2023 yang diadakan di Indonesia, “Make The Case” Student Case Study Competition 2022 yang dianjurkan oleh City University of Hong Kong dan SMART 3.0 Online Pitch Competition 2021 anjuran National Cheng Kung University, Taiwan. 

Selain itu, Brendon Vun bersama-sama ahli kumpulannya turut menjuarai pertandingan Ocean Challenge bagi kategori antarabangsa yang diadakan di Taiwan pada 2022. 

Pada tahun 2022 juga, dia telah menjadi salah seorang fasilitator dalam Akademi Impact 2022 - Edisi Jaguh Bumi! yang bekerjasama dengan Youth Environment Living Labs (YELL), sebuah program kerjasama United Nations Development Programme (UNDP) dan United Nations Children’s Fund (UNICEF) dengan sokong Amanah Lestari Alam (ALAM). 

Sepanjang bergelar mahasiswa, bakat kepemimpinannya amat terserlah dan telah diberi kepercayaan untuk menyandang beberapa jawatan antaranya ialah Bendahari Kehormat Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2021/2022, EXCO Protokol Kelab Mahasiswa/wi Sabah (KEMASIS) selain menganggotai Majlis Tertinggi bagi beberapa program antaranya Jiwa Anak Malaysia 2022 dan Minggu Jalinan Mesra kemasukan Diploma & Asasi sesi 2021/2022.