• 07 Mei 2024 | 28 Syawal 1445

Anwar Pertahan Zahid Suburkan Politik Wang?

KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah dan politik wang sangat memalukan negara.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak berkata, perkara tersebut bukan hanya mengundang kecaman rakyat tetapi turut mengheret bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Presiden parti MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk turut menentang budaya tidak sihat itu.

"Beberapa hari lepas Zahid Hamidi tanpa segan silu mengumumkan pemberian wang lebih 'setengah juta ringgit' kepada belia Terengganu sambil mengharapkan anak muda mengikut Gelombang Biru (BN) dan Gelombang Merah (PH).

"Perkara ini sangat memalukan, ia mencabul proses demokrasi, namun malangnya Anwar Ibrahim dengan tegas mempertahankan Zahid Hamidi," ujarnya.

Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya III PAS Terengganu, berkata demikian pada sidang media di Pejabat Perhubungan PAS negeri, di sini, hari ini.

Tegasnya, Malaysia akan rosak jika budaya tidak sihat tersebut terus disuburkan serta tidak dibendung.

"Masyarakat akan hilang rasa hormat terhadap agensi kerajaan dan kerajaan jika acuh tidak acuh dalam perkara ini," katanya.

Ujarnya, kini di Terengganu rentetan daripada tindakan Zahid itu, amalan rasuah tersebut sudah menjadi ikutan di peringkat bawahan UMNO itu sendiri.

"Tersebar di media sosial, calon BN di beberapa DUN di Terengganu menghulurkan wang kepada orang ramai.

"Kelakukan itu seolah-olah seperti mahu mencabar pihak berkuasa dan undang-undang negara, beberapa isu ini juga menunjukkan betapa tidak 'madaninya' PH-BN dalam berkempen. Kami berharap agar tindakan tegas dapat diambil oleh pihak berkuasa," ujarnya.

Tambah belau, kelakuan tersebut menjadi bukti nyata betapa kerajaan campuran hari ini gagal serta hanya sekadar bercakap tentang ketelusan serta menentang rasuah.

"Jika diimbas sebelum ini mereka jugalah yang lantang bersuara agar isu rasuah dan politik eang dijauhkan dalam kempen pilihan raya. Namun kini kita boleh melihat siapa sebenarnya bercakap benar dan siapa hanya pandai bermain kata-kata.

"Kita yakin rakyat Terengganu dan lima negeri lagi menolak budaya politik kuno sebegini dan akan menghukum PH-BN dalam PRU DUN kali ini," ujarnya.