• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

APM Terengganu Siap Siaga Hadapi Aidilfitri

Barisan APM Terengganu.
KUALA NERUS, 24 Mei - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu akan menggerakkan pasukannya bagi memantau dan membantu pengguna jalan raya sempena perayaan Aidilfitri nanti.

Pengarah APM Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, bagi memberi lebih keselesaan kepada pengguna, operasi APM akan tertumpu kepada Ops Bantu dan Ops Selamat yang melibatkan seramai 100 anggota dari seluruh Terengganu.

Jelasnya, Ops Bantu akan memberi bantuan kepada pengguna jalan raya yang mengalami masalah kecil teknikal seperti kerosakan kenderaan.

“APM Terengganu tidak ketinggalan untuk menjalankan lagi  operasi kita iaitu Ops Selamat dan Bantu, Ops Bantu kita sudah memasuki edisi yang ke-19, yang mana modus operandinya  seperti tahun-tahun terdahulu.

“Ia akan melibatkan fasa pertama pada 3 dan 4 Jun, kemudian kita akan sambung semula fasa kedua pada 8 dan 9 Jun dengan bilangan petugas kita jangka 3 hingga 4 anggota utuk rondaan setiap empat jam ataupun dua shif, keseluruhan anggota adalah 40 hingga 50 orang,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Perhimpunan Setia APM Terengganu dan Serahan Bot Gentian Kaca kepada APM Daerah di Pejabat Negeri APM Terengganu, di sini semalam.

Selain Ops Bantu, pihaknya juga bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) Ronda untuk menjalankan Ops Selamat pada 29 Mei hingga 12 Jun.

 Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman.
Ujarnya, Ops Selamat berperanan dalam melakukan rondaan berkala bersama Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) dan St John Ambulance bagi mengawasi sebarang kecemasan yang berlaku di LPT2.

“Untuk Terengganu, lebuh raya yang kita awasi ialah LPT2, yang mana pos statik akan ditempatkan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Perasing dan juga susur keluar tol Ajil.

“Penugasan setiap anggota bagi daerah Kemaman dan Hulu Terengganu ini berjalan dalam tiga shif iaitu setiap satu shif melibatkan empat hingga lima anggota, menjadikan 40 hingga 50 orang akan terlibat dalam Ops Selamat," tambah beliau.

Mengulas tentang serahan Bot Gentian Kaca, sebanyak 30 buah bot telah diterima oleh APM Terengganu dengan setiap daerah menerima tiga buah bot dan baki enam lagi diletakkan di APM negeri.

Che Adam berkata, bot berkenaan akan ditempatkan di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi berlaku banjir dan juga sebagai persiapan unntuk menghadapi Monsun timur Laut (MTL).

“Kami harap kemudahan itu akan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan bencana di semua daerah tumpuan iaitu di Kemaman, Dungun, Hulu Terengganu dan Besut,” katanya.



Tag: