HANOI, 24 Mei - Atlet Terengganu yang bersaing di Sukan Sea 2021 berjaya menyumbang dan membawa pulang 25 pingat untuk kontinjen Malaysia.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pencapaian itu sangat membanggakan dan menggembirakan negara dan negeri.
Katanya, untuk temasya kali ini kerajaan negeri Terengganu telah menghantar 47 orang iaitu 31 orang lelaki dan 16 orang wanita yang mewakili negara dalam 18 jenis acara sukan.
“Atlet negeri Terengganu telah berjaya meraih pungutan pingat sebanyak tiga emas, 10 perak dan 12 gangsa yang secara keseluruhannya ialah 25 pingat. 3 pingat yang diraih adalah dari acara sukan berbasikal – Mixed Mountain Bike (MTB) Relay, acara basikal lebuhraya dan Muay-Thai.
“Negeri Terengganu juga berada di kedudukan yang keempat menghantar atlet teramai selepas dari Wilayah Persekutuan, Selangor dan Johor," katanya kepada UPDI.
Wan Sukairi berkata, untuk acara individu, bagi yang berjaya mendapat pingat emas akan mendapat ganjaran sebanyak RM 4,000, pingat perak sebanyak RM 3,000 dan pingat gangsa sebanyak RM 2,000.
"Bagi acara berpasukan pula, sebanyak RM 2,500 diberikan bagi yang mendapat pingat emas, RM 2,000 pingat perak dan RM 1,500 pingat gangsa.
“Kerajaan negeri Terengganu akan adakan satu majlis penghargaan untuk atlet-atlet yang berjaya meraih kemenangan selepas ini disamping untuk menyampaikan insentif Skim Wakil Negara (SWARA) bagi yang belum saya sempat untuk sampaikan ketika di berada Hanoi,” katanya.
Menurut beliau, masih ada ruang penambahbaikan yang dapat dibuat selepas ini bagi mempersiapkan atlet Terengganu untuk ke temasya sukan SEA ke-32 di Kemboja.
“Untuk temasya sukan SEA ke-32 nanti, kerajaan negeri Terengganu menyasarkan peningkatan jumlah atlet dan jumlah bilangan pingat yang dapat diraih. Buat masa ini, usaha untuk mengadakan latihan dan program buat atlet bagi berpeluang mewakili negara sedang berjalan yang diuruskan oleh Majlis Sukan Negeri Terengganu dan seterusnya nanti akan dipilih oleh Majlis Sukan Negara Malaysia,” katanya.