• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Atlet Terengganu Dilindungi Insurans


Semua atlet di Terengganu di bawah Program Pembangunan Sukan kelolaan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilindungi insurans.

Pengarahnya, Ibni Amin Busu berkata lebih 500 atlet terlibat dalam program tersebut.

"Daripada senarai tersebut, empat orang atlet yang terlibat dalam kemalangan sebelum ini telah menerima pampasan hampir RM400, 000 di mana  setiap individu menerima  pampasan antara RM70,000 sehingga  RM 103.000.

"Insurans yang diambil tersebut merangkumi kecederaan semasa latihan serta kematian," katanya.

Beliau ditemui pemberita pada Majlis Penyerahan Cek Insurans Atlet di Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin dan Pengarah Urusan Pasific Insurance, Ponusamy Doraisamy.


Pada majlis tersebut, Ponusamy menyampaikan sumbangan sebanyak RM103,900 kepada MSNT untuk diserahkan kepada keluarga atlet kabaddi, Fatin Nadeera Jasni yang telah meninggal dunia pada Mei tahun lepas.

Untuk rekod, tiga atlet yang pernah menerima pampasan yang sama adalah dua atlet basikal, Syafiq Imran Syahril dan Mohamad Asmu'i Ali serta atlet bola baling, Muhamad Naim Mat Nasir.

Tambah Ibni, kerajaan negeri sering mengambil cakna kebajikan atlet-atlet Terengganu.

"Kebiasaannya, atlet-atlet tidak dilindungi dengan insurans kerana kebanyakan pihak tidak menyediakan insurans yang bersesuaian untuk mereka.

"Jadi pihak kerajaan negeri melalui MSNT mengambil pendekatan untuk bekerjasama dengan Pasific Insurance untuk menjaga kebajikan atlet di Terengganu," katanya.

Tag: