• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Atlet Terengganu Dinobat Ratu Pecut Di Sopma Sarawak 2016




Atlet dari Terengganu berjaya mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai ratu pecut bagi kejohanan Sukan Orang Pekak Malaysia (Sopma) ke-19 dengan menghasilkan dua rekod baharu bagi acara 100 dan 200 meter wanita yang berlangsung di Sarawak.

Dalam acara yang berlangsung pada hari ini, Norafaezah Abdullah, dari Ajil, Hulu Terengganu itu mengenepikan rekod lama kejohanan tersebut dengan catatan masa 13.47 saat untuk kategori 100 meter wanita, manakala bagi 200 meter pula dengan catatan masa 29.39 saat.

Sehingga jam 12 tengah hari tadi, kem Terengganu yang dianggotai oleh 51 atlet berjaya menghadiahkan dua emas, empat perak dan dua gangsa.


Dengan kutipan tersebut, Terengganu kini berada di tangga keempa,t manakala Sabah pula di kedudukan teratas dengan kutipan sembilan emas, 10 perak dan lapan gangsa,  diikuti Wilayah Persekutuan (sembilan emas, empat perak dan satu gangsa) dan Sarawak di tangga ketiga (lima emas, lima perak dan enam gangsa).

Kejohanan yang mula membuka tirai pada 30 September lalu dan bakal berakhir pada 7 Oktober nanti menyaksikan seramai 615 atlet berkampung di Bumi Kenyalang bagi merebut pingat-pingat yang ditawarkan.

Sepanjang kejohanan berlangsung, empat sukan utama telah dipertandingkan iaitu badminton, bola sepak, tenpin boling dan olahraga.


Sopma merupakan antara kejohanan terbesar yang dikhususkan untuk golongan cacat pendengaran di peringkat kebangsaan.

Kejohanan dwi tahunan menjadi platform untuk mencari bakat-bakat baru ke peringkat yang lebih tinggi.

Tag: