• 25 Okt 2021 | 18 Rabiul Awal 1443

Ayu Gadis ‘Pencinta’ Lembu

 

HULU TERENGGANU, 9 Disember - Di kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, Nur Hidayu Rosli, 20, tidak kisah bergelumang dengan najis lembu malah pernah digelar gadis lembu kerana menguruskan ternakan itu yang menjadi minatnya sejak kecil.

Anak bongsu daripada lima beradik itu menganggap 10 ekor lembu peliharaannya sebagai teman terbaik sejak kecil lagi dan pernah terluka ketika menyelamat salah seekor lembunya yang terbelit tali di bawah rumah. 

“Saya tak kisah tanggapan orang ramai malah bangga menceburi bidang ini.Memang ada yang kata saya berkawan dengan lembu dan banyak menghabiskan masa dengan haiwan kesayangan tapi ada juga yang memuji.

"Saya tidak kekok melakukan kerja menguruskan lembu seperti memberi makan dan membersihkan najis malah sanggup mencerut rumput  untuk memberi makan tanpa rasa penat atau segan.

“Rutin setiap hari, jam 10 pagi akan mengheret lembu-lembu ini ke padang rumput sejauh 200 meter dan akan jenguk dua kali sebelum membawa pulang pada lewat petang,”katanya yang lebih mesra denggan panggilan Ayu ketika ditemui di kampung Pantai Ali, Kuala Berang.

Dia yang turut dibantu oleh abang, Muhammad Faizal, 27, berkata bidang penternakan lembu sudah sebati dengannya sejak berusia enam tahun kerana selalu mengikut arwah ayah dan setelah kehilangan tonggak keluarganya akibat kanser hati pada bulan Mac 2020, dia mengambil alih tugas berkenaan dengan rela hati.

“Soal jantina tidak menjadi penghalang, apa yang penting minat dan kesanggupan untuk bergelumang dengan najis dan bau busuk lembu.

“Keluarga tidak pernah memaksa melakukan kerja menguruskan lembu termasuk memberi makan dan membersihkan najis di kandang sebaliknya ia dilakukan kerana minat sebelum keluarga memberi kepercayaan kepada saya menguruskan ternakan,”ujarnya lagi.

Setiap lembunya mempunyai nama tersendiri seperti Kembang, Jantan, Merah, Siti dan Sor merupakan kesayangan Ayu sejak kecil  malah pernah menangis apabila Sor kemalangan ketika berusia tiga bulan yang mengakibatkan rahang patah.

“Setelah pihak klinik mengatakan Sor tidak ada harapan untuk pulih, saya dan mak mula merawatnya dengan mengikat kain di sekeliling rahang dan memberikan daun kayu untuk di makan.

“Syukur Alhamdulillah, akhirnya Sor sudah normal seperti biasa dan kami cukup gembira melihatnya,”katanya yang bercita-cita menjadi penternak wanita berjaya satu hari nanti.

Sementara itu, Zaini  berkata, dia bangga dengan kecekapan anak perempuan bongsunya  menguruskan lembu di ladang seperti orang lelaki.

Jelasnya lagi, dia tidak kisah dengan cemuhan dan tanggapan masyarakat sekeliling terhadap Ayu kerana sebagai ibu, dia lebih mengenali anak sendiri.

“Ayu merupakan anak yang baik, dia buat semua untuk saya dan tidak semua orang seusianya yang sanggup mengurus lembu di ladang, cukup lasak namun anak saya mampu melakukannya dengan baik dan ia sesuatu yang membanggakan.

“Dia sanggup korbankan cita-citanya dan peluang untuk melanjutkan pelajaran dalam Diploma Senibina di UiTM Machang dengan alasan kalau dia tiada siapa yang nak uruskan ternakan, mak kan tak sihat.

“Hatinya cukup penyayang terutama kepada binatang, dan sekarang Ayu turut membela 13 ekor kucing di rumah termasuk binantang lain,”ujar Zaini lagi.

Sebagai ibu, Zaini yakin Ayu mampu  pergi jauh dalam bidang ini selain berharap pembabitan anaknya itu dapat membuka mata masyarakat terutama golongan wanita untuk turut sama menceburi bidang ini.

“Saya bangga dengan kesanggupan anak menguruskan lembu di kandang kerana saya sedia maklum dengan cabaran yang ada walaupun dia masih remaja.

“Bukan semua wanita mampu dan sanggup menguruskan lembu di kandang tetapi apabila dia mampu melakukannya dengan baik, ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.