• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

Bajet 2018 : Tidak Pernah Henti Taja Pelajar Luar Negara - A. Latiff


Kerajaan negeri tidak pernah menghentikan penajaan pelajar ke luar negara seperti yang diuar-uarkan oleh segelintir pihak.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan negeri tetap meneruskan penajaan pelajar ke luar negara khususnya dalam bidang-bidang kritikal.

A. Latiff (BN-Pengkalan Berangan) berkata, program penajaan pelajar ke luar negara diteruskan seperti biasa, bagaimanapun hanya berlaku pengurangan berbanding tahun-tahun sebelumnya.

"Pada tahun 2017, seramai 13 orang telah dihantar ke luar negara dan dijangka 2018 pun begitu juga.

"Pengurangan ini disebabkan oleh sesetengah kos seperti perubatan dan kedoktoran di Rusia, Mesir dan sebagainya tidak dihantar lagi sebab kita mengambil kira pelajar yang belajar dalam negara sudah mencukupi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas sesi soalan di persidangan Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, hari ini.

Tambahnya, untuk tahun 2017, pelajar yang dihantar ke luar negara merupakan pelajar yang mengikuti kos kejuruteraan dan perakaunan.

Katanya lagi, kerajaan negeri turut meneruskan biasiswa kepada mana-mana pelajar yang berkelayakan melalui Yayasan Terengganu.

Tag: