• 27 Apr 2024 | 18 Syawal 1445

Baju Raya Baru Ceriakan 60 Anak Yatim

Amzad membantu memberi cadangan baju raya kepada salah seorang peserta.

Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 19 Mei- Seramai 60 anak yatim terpilih berpeluang memilih pakaian hari raya secara percuma menerusi program Limpahan Kasih Aidilfitri.

Program anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu disertai kanak-kanak berumur antara lima hingga18 tahun yang dipilih oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dari seluruh Parlimen Kuala Terengganu.

Ahli Parlimen kawasan tersebut, Ahmad Amzad Hashim berkata, kelengkapan raya percuma dengan nilai pembelian RM100 seorang mampu menceriakan kanak-kanak berkenaan untuk menyambut Aidilfitri ini.

Beliau selaku pengarah program berkata, tujuan utama program ini diadakan bagi membantu meringankan kos persiapan Aidilfitri dua minggu lagi terutama kepada anak yatim yang kurang berkemampuan.

Program turut disertai ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed.

"Kos perbelanjaan raya bukannya jumlah yang kecil, malah ia boleh mencecah ribuan ringgit terutamanya bagi yang memiliki bilangan anak yang ramai.

“Program ini secara tidak langsung dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan ekoran harga barangan dan kos sara hidup semakin meningkat," katanya ketika ditemui sewaktu program berlangsung di Mydin Mall Kuala Terengganu, semalam.
Para peserta merakamkan gambar sebelum membeli belah bersama Pusat Khidmat.

Ahmad Amzad memaklumkan mendapat banyak komen positif berkenaan program yang pertama kali dianjurkan pihaknya itu.

“Kami merancang menjadikan program ini sebagai program tahunan di bawah anjuran Pusat Khidmat Parlimen Kuala Terengganu.

"Sekiranya keadaan mengizinkan, mungkin tahun seterusnya akan ada tambahan nilai bantuan dan bilangan penerima” katanya.





Tag: