• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Baju Terpakai Percuma Untuk Warga Terengganu

William (kiri) rakan pengusaha Rosli mengenakan baju untuk kanak-kanak yang memerlukan.


KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Selain memperbanyakkan ibadat, Ramadan juga menjadi lubuk umat Islam mengumpul pahala bagi membantu golongan kurang bernasib baik.

Mengambil kesempatan itu, sebuah gudang perabot di Jalan Sultan Mohamad, di sini tidak ketinggalan memanfaatkan bulan penuh rahmat ini dengan mengagihkan pakaian terpakai percuma kepada mereka yang kurang berkemampuan.

Pengusahanya, Rosli Nooral Azhar, 48, berkata, program yang diadakan bermula 17 Mei itu merupakan inisiatif bagi berkongsi rezeki melalui pemberian baju percuma yang disumbangkan oleh orang ramai.

Menurutnya, mereka ke pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian dalam gudang itu boleh memilih sendiri tanpa ada had dengan pelbagai jenis pilihan fabrik.

Selain pelbagai jenis pakaian untuk dewasa dan kanak-kanak, sumbangan makanan dan barangan dapur turut menjadi tumpuan orang ramai.

“100 peratus sumbangan ini adalah datang daripada penduduk sekitar Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang, boleh dikatakan setiap hari kami menerima 20 hingga 30 penyumbang.

“Sambutan yang sangat menggalakkan daripada ramai, kehadiran akan lebih lagi bila tiba hari cuti, kebiasaanya kehadiran orang ramai mencecah 100 orang dalam satu hari,” ujarnya.

Rosli Nooral Azhar.

Ujar Rosli lagi, pada awalnya dia bermula dengan hanya membuka sebuah pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian, makanan serta barangan dapur di Kuala Berang.

Namun, sambutan positif dan permintaan warga Kuala Terengganu menggalakkannya untuk meneruskan inisiatif tersebut di tempat baharu.

“Ini tempat kedua yang kita buat, yang pertama diadakan di hadapan Padang Astaka Kuala Berang, pelanggan pun banyak menyumbang sama, jadi lebih banyak pilihan pakaian dan barangan lain,” katanya sambil menambah, dia mengalu-alukan sumbangan baju daripada orang ramai.

Sementara itu, seorang penduduk, Suriani Saari, 49, berkata dia tidak melepaskan peluang mengambil beberapa pakaian untuk anak-anaknya.

Selain saudara-mara dan anak buah, saya juga agihkan baju-baju ini kepada keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan,”  kata suri rumah itu.

Bagi seorang penyumbang, Rushdan Mohamad, 49, berkata sememangnya dia berhasrat untuk menderma pakaian keluarganya dan pusat pengumpulan berkenaan dapat memenuhi rancangannya.

Sesuai sangat sumbangan dapat dibuat ketika bulan Ramadan. Saya harap baju-baju ini dapat membantu mereka yang memerlukan, katanya.

Pusat pengumpulan dan pengagihan pakaian di Jalan Sultan Mohamad.

Pusat pengumpulan dan pengagihan itu terletak berhadapan Flat Polis Hiliran Kuala Terengganu dan bersebelahan dengan Restoran Rileks Kitchen.

Pusat itu beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan akan berakhir pada malam hari raya.



Tag: