• 29 Nov 2020 | 13 Rabiul Akhir 1442

Bakar Guna Sabut Rahsia Keenakan Roti Sekaya Dapur Kayu

 

HULU TERENGGANU, 19 Oktober - Keunikan roti dengan inti kaya yang padat dan dibakar menggunakan sabut kelapa di dalam tin minyak  menyebabkan Roti Sekaya Dapur Kayu cukup dikenali penduduk Kampung Bukit Gemuruh dan kawasan sekitarnya.

Pemiliknya, Maziah Abd Rahman, 32,  berkata roti berkenaan cukup  istimewa kerana dihasilkan dengan menguli tepung dan memproses sekaya menggunakan tangan selain membakarnya dengan kayu api dan sabut yang membangkitkan aroma tersendiri yang sentiasa menjadi rebutan peminat tegarnya sejak 26 tahun lalu 

Rasa intinya yang lemak manis selain kelembutan roti bakarnya terutama apabila dimakan ketika masih panas membuatkan roti bakar Maziah habis  lebih kurang sejam selepas ia mula dijual.

Jelas Maziah, ramuan roti dan sekaya tersebut merupakan resipi turun temurun milik keluarga sejak tiga dekad lalu.

Bagaimanapun, katanya,  resipi tersebut baru sahaja dikomersialkan untuk memulakan perniagaan pada Februari tahun lalu selepas ayahnya, Jusoh@ Yunus Mamat dan ibu, Fatimah Salleh berhenti menjualnya sejak 26 tahun lalu.

Menurutnya, cubaannya meniaga kembali roti berkenaan bermula secara suka-suka untuk memenuhi hidangan keluarga namun ia mendapat permintaan dalam kalangan penduduk setempat.

“Segalanya berlaku tanpa dirancang, dari nak buat untuk makan bersama keluarga tetapi mendapat sambutan dan permintaan menggalakkan selepas mak menghantarnya untuk dikongsikan dengan jiran-jiran terdekat.

“Saya tidak pernah merancang untuk berniaga roti semula  tapi rata-rata mereka yang pernah merasai dan merindui roti mak saya meminta saya menjualnya kembali,’’ tambah ibu kepada dua anak itu.

Menariknya, ada dalam kalangan pelanggan memberitahu roti dihasilkan Maziah sama rasanya dengan roti yang dihasilkan oleh ibu dan ayahnya.

“Ramai pelanggan berpuas hati dan membeli kembali selepas mencuba untuk kali pertama malah ada antara mereka teruja apabila memakannya kerana mengimbau kembali zaman kanak-kanak satu ketika dahulu,” katanya 

Dalam pada itu, katanya, penjualan roti berkenaan juga meningkat didorong oleh promosi dari mulut ke mulut pembeli.

Tambahnya, permintaan roti turut meningkat ketika Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) berikutan penularan koronavirus (Covid-19) sejak 18 Mac lalu.

“Boleh dikatakan secara purata saya menghabiskan 35 hingga 50 kilogram sehari  untuk membuat 200 bekas roti dan 100 biji telur serta 20 biji kelapa untuk menghasilkan sekaya yang mampu bertahan untuk dua hari.

“Alhamdulillah, pada bulan Ramadan tahun ini, permintaan Roti Sekaya Dapur Kayu meningkat berbanding pada bulan puasa tahun lalu dan hari-hari biasa.

Maziah berkata, roti kami dijual pada harga RM5 sebekas mengandungi 10 biji roti berintikan sekaya dan pilihan terbaharu kelapa atau kacang.

“Saya buat roti sehari selepas pelanggan membuat tempahan dan kemudian suami saya akan menghantar kepada pelanggan dan ada juga yang membelinya sendiri di rumah kami.

“Setakat ini saya menggunakan platform media sosial sahaja untuk mempromosi dan menjual roti ini,” katanya.

Sehingga kini, roti bakar sekaya masih  menerima sambutan yang luar biasa dan tempahan bukan sahaja dari kawasan setempat malah turut diperoleh dari luar.

Bagi sesiapa yang ingin membuat tempahan bolehlah menghubungi Maziah ( 0167870017) atau membuka laman sosial facebook Roti Sekaya Dapur Kayu untuk maklumat lebih lanjut.