• 30 Apr 2024 | 21 Syawal 1445

Balai Bomba Bakal Dibina Di Kuala Nerus



KUALA NERUS, 18 Mac- Sebuah balai bomba dan penyelamat yang baharu bakal dibina tidak lama lagi, di kawasan seluas 2.1 hektar di Kampung Padang Nenas, di sini.

Kerajaan Pusat melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan meluluskan peruntukan sebanyak  RM5 juta bagi membina balai bomba berkenaan yang kini dalam proses  menambun dan meratakan tanah.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr Alias Razak berkata, pembinaan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus itu  bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat  di mana sebelum ini bergantung kepada balai bomba dan penyelamat sementara yang terletak berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud.


Katanya, sekiranya berlaku kebakaran atau bencana alam lebih serius, orang ramai terpaksa meminta bantuan dari BBP Kuala Terengganu yang mengambil masa kira-kira 1 jam pada waktu puncak.

“BBP Kuala Nerus sangat diperlukan kerana banyak kawasan perumahan, kediaman yang padat, terdapat  tiga Institusi Pergajian Tinggi (IPT),  beberapa pasar raya dan kawasan hutan yang luas.

“Atas faktor itu, Kerajaan Pusat memutuskan untuk membina sebuah balai bomba di situ (Kuala Nerus),” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pecah Tanah BBP Kuala Nerus, di sini, petang semalam.

Hadir merasmikan majlis itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin.

Dr Alias turut memberitahu, pada masa yang sama, pihaknya berharap permohonan tambahan bagi membina bengkel kejuruteraan di kawasan yang sama dapat dipertimbangkan.

“Kemudahan sama di BBP Kuala Terengganu sudah terlalu padat dengan puluhan jentera bomba yang perlu dibaiki dan diselenggara,” katanya.



Tag: