Bangun Awal Pagi Resepi Cemerlang SPM
KUALA NERUS, 15 Mei – Sentiasa bangun awal pagi bagi menunaikan Solat Sunat Tahajud dan bermunajat kepada Allah menjadi rahsia Amirul Bukhari Aminuddin memperolehi Keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat 9A.
Katanya, itu yang menjadi amalannya selain banyak melakukan ulang kaji secara berkala seperti melakukan latihan berdasarkan semua soalan percubaan tahun-tahun lepada bagi setiap negeri dan juga menyertai kelas tambahan di sekolah.
“Saya juga mengikuti kelas tuisyen ‘brick and mortar’ bagi Bahasa Inggeris yang diajar oleh tutuor saya yang pernah mengajar di Terengganu FM melalui rancangan ‘Yes No Alright Thank You’ dan menyertai kelas atas talian bagi subjek Matematik Tambahan dan Prinsip Perakaunan,” ujarnya.
Mengulas lebih lanjut, Amirul berkata sebaik menerima Keputusan itu dia sangat terharu dan bersyukur dan sangat menghargai jasa ibu bapanya serta guru-guru yang sentiasa membimbing dan mendoakan kejayaanya selama ini.
“Saya merancang untuk menyambung pelajaran dalam bidang Sains Aktuari kerana saya ingin menjadi seorang aktuari sesuai dengan minat saya yang mendalam terhadap Matematik.
“Sekarang saya sedang memohon biasiswa dan mencari peluang terbaik untuk meneruskan pengajian,” jelasnya.
Dalam pada itu, dia menitipkan pesan kepada pelajar yang masih belum berjaya agar tidak berputus asa.
“Kepada yang Berjaya jangan terlalu selesa teruskan usaha kerana ini baru permulaan dan untuk mereka yang belum mencapai Keputusan yang diharapkan, ingatlah bahawa ini bukan penamat.
“Kejayaan datang dalam pelbagai bentuk, yang penting bangkit semula, belajar daripada kesilapan dan teruskan berusaha, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya,” ujarnya.
Dalam pada itu, ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat akan mengadakan satu majlis khusus bagi meraikan pelajar yang cemerlang dalam SPM dalam DUN Seberang Takir.