• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

'Bantu Marawi Satu Keutamaan' - Abdul Hadi Awang

Dato' Seri Abdul Hadi Awang.
KUALA NERUS, 19 Julai - Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) diminta memberi tumpuan membantu negara-negara jiran bermasalah seperti Marawi, Mindanao, Filipina kerana ia merupakan satu keutamaan.

Ahli Parlimen Marang, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang berkata, langkah yang diambil untuk membantu jiran serumpun itu mendapat tiga pahala termasuk kelebihan kerana menolong saudara seIslam, menghubungkan silaturrahim dan jiran tetangga.

“Saya memperingatkan kepada semua NGO terbabit supaya menumpukan perhatian kepada jiran tetangga dan sahabat handai yang dekat dengan kita kerana saya dapati terlalu banyak aktiviti yang bertaburan ke sana ke mari sampai ke Afrika, sampai ke mana-mana sebab semangat tinggi sedangkan kawasan yang dekat dengan kita sendiri kita tidak bantu.

“Di Filipina, Indonesia dan Rohingya, Myanmar yang dekat dengan kita tetapi kita pergi ke tempat lain jauh-jauh. Bukan tak boleh tetapi mesti mengutamakan jiran serumpun dahulu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Marawi di Duyong Marina & Resort, di sini malam ini.

Turut hadir, Pengerusi Agensi Pembangunan Bangsa Moro, Dr Saffrullah M Dipatuan dan Presiden Yayasan Amal Malaysia, Haji Hussin Ismail.

Dato’ Seri Abdul Hadi yang juga Presiden PAS seterusnya berkata, Filipina terjebak dalam konflik politik yang perlu diselesaikan oleh umat Islam.

“Autonomi memberi ruang untuk menyatakan Islam secara damai kepada pihak yang lain khususnya rakan sebangsa.

“Bandar Marawi menghadapi krisis permusuhan sesama sendiri, berlaku pengeboman di masjid bukan sahaja pasar dan hotel kira-kira dua tahun yang lalu, tidak perlu sebut nama siapa yang terlibat.

“Ia mencetuskan keganasan dan pembunuhan, yang matinya orang Islam lebih ramai dari orang bukan Islam kerana sikap melampau ini,” tambahnya lagi.

Bagaimanapun katanya, dengan kerjasama pelbagai pihak, permusuhan itu dapat diredakan sehingga berjaya melaksanakan autonomi di Marawi.

Tag: