• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

Kerajaan Negeri Agih Bantuan Persekolahan RM100 Untuk Pelajar

MARANG, 28 November - Kerajaan negeri mula mengagihkan bantuan pakaian persekolahan bernilai RM100 kepada keluarga yang layak sejak beberapa hari lalu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang ia diagihkan hari ini dengan membabitkan 1,746 penerima.

Katanya, bantuan bagi setiap murid atau pelajar itu diharap dapat meringankan beban ibu bapa.

“Kita berharap bantuan ini dapat memberi kelegaan kepada ibu bapa terutama yang kurang berkemampuan untuk membeli kelengkapan persekolahan anak bagi sesi persekolahan baharu pada Mac tahun depan.

“Kerajaan negeri berharap ia dapat dimanfaatkan sebaiknya dan menyuntik semangat serta memberi motivasi kepada murid dan pelajar untuk belajar dengan cemerlang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bantuan Persekolahan DUN Rhu Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, hari ini.

Bapa pelajar, Sofian Said, 45, berkata nilai yang diperoleh itu cukup bermakna, kecil bagi orang lain tetapi besar bagi dirinya dan keluarga. 

"Sekurang-kurangnya bajet untuk membeli kelengkapan sekolah anak yang sudah diasingkan boleh beli barangan dapur.

“Tambahan pula, saya baru memulakan kerja sebagai pemandu lori, sebelum ini terpaksa berhenti buat seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

.

“Duit belanja harian bergantung kepada duit simpanan, itu sebabnya setiap sumbangan yang diperoleh daripada mana-mana pihak  cukup bermakna buat kami sekeluarga,” katanya yang mempunyai empat orang anak, termasuk dua yang sedang bersekolah.

 

 


Tag: