• 03 Mei 2024 | 24 Syawal 1445

Bar Pulau Perhentian Diserbu Polis


Oleh: Saifullah Jusoh

BESUT, 6 Ogos - Sebuah bar di Pasir Panjang, Pulau Perhentian yang penuh dengan pengunjung di serbu polis tengah malam semalam kerana disyaki beroperasi tanpa lesen dalam satu Operasi Penguatkuasaan Polis awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah Besut, Suprintendan Mohd Zamri Mohd Rawi berkata Sewaktu diserbu bermula jam 12.30 tengah malam semalam, kebanyakan pengunjung sedang leka berhibur.

Dalam satu kenyataan media beliau berkata, ketika diperiksa didapati pemilik bar terbabit gagal mengemukakan permit yang sah untuk beroperasi sebagai pusat hiburan.

Katanya, polis bertindak selepas menerima maklumat orang ramai berhubung bar tersebut disyaki beroperasi secara haram.


"Lima unit pembesar suara, mikrofon, komputer riba, wayar dan pelbagai peralatan hiburan lain yang terdapat di dalam bar berkenaan turut dirampas dalam serbuan berkenaan," jelas beliau.

Mohd Zamri berkata, polis telah menahan dua lelaki berusia 37 dan 22 tahun yang masing-masing berasal dari Kampung Beris Nail, Kuala Besut dan Kampung Bohor Tempoyak Mukim Kedawang, Pulau Langkawi, Kedah untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 3 Enakmen Hiburan Terbuka 1997.

Operasi yang dinamakan Ops Noda itu dijalankan oleh seorang pegawai dan lima anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, seorang sarjan dan enam anggota dari Balai Polis Pulau Perhentian.

Operasi itu turut disertai seorang pegawai dan sembilan kakitangan Majlis Daerah Besut.

Tag: