• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Bazar Aidilfitri: Peniaga Mengeluh, Pengunjung Hanya Ambil Suasana

HULU TERENGGANU, 18 April - Rata-rata peniaga bazar Aidlfitri mengeluh apabila jualan pakaian serta kelengkapan menyambut hari raya kurang mendapat sambutan meskipun Ramadan hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi.

Seorang peniaga, Norazuwa Kamaruddin, 38, berkata, kebiasaannya setiap tahun,  jualan di bazar pasti mendapat sambu¬tan baik, namun berbeza tahun ini yang ternyata perlahan.

Katanya, pada tahun lepas dia mengaut keuntungan walaupun negara ketika itu baru keluar dari fasa PKP buat pertama kalinya.

“Kebiasaannya, pada minggu akhir, kami dah dapat kembali modal yang dilaburkan serta keuntungan jualan tapi kali ini ternyata jauh berbeza apabila modal masih lagi belum dapat sepenuhnya.

“Saya tak berani nak tambah stok kerana gagal pusing modal yang sedia ada lagipun orang ramai kurang membeli sekadar cuci mata sahaja,” katanya yang berniaga baju kanak-kanak dan alat kosmetik.

Dia yang dibantu kembarnya, Norazila Kamaruddin berkata, faktor kewangan mungkin menjadi penyebab orang tidak berbelanja ditambah pula harga barang sekarang yang mening¬kat.

"Namun, saya tetap bersyukur. Masih ada yang membeli dan berharap jualan akan bertambah baik dalam beberapa hari ini," katanya.

Seorang lagi peniaga, Rokiah Ibrahim, 55, memberitahu, dalam tempoh Ramadan ini jualannya merosot 60 peratus dan masih jauh daripada sasaran. 

“Biasanya untuk tempoh ini jualan kita amat baik, tapi berbeza pada tahun ini mungkin sebab pada tahun lepas rakyat dapat keluarkan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan terima pelbagai bantuan lain daripada kerajaan, maka kuasa membeli masih ada,” ujarnya.

Katanya, selain itu jualan secara atas talian yang jauh lebih murah  menjadi pilihan orang ramai untuk membuat persiapan raya.

"Ini mengakibatkan sebahagian peniaga bazar Aidilfitri menanggung kerugian teruk ekoran barangan yang dijual tidak laku," tambahnya.