• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Belia Aset Penting Jayakan Agenda Kerajaan


Oleh: Fidee Aziz

KUALA TERENGGANU, 21 Oktober - Golongan belia merupakan aset penting bukan sahaja dalam merealisasikan agenda sukan, malah bagi mencapai matlamat Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, beliau yakin bahawa golongan belia adalah antara individu penting kepada kerajaan.

"Ia termasuk dalam menyampaikan dasar kerajaan  yang menekankan kemajuan, keberkatan dan kesejahteraan rakyat ke peringkat akar umbi.

"Antara caranya melalui aktiviti bersukan  dan pelbagai aktiviti yang menekankan aspek moral, kerohanian dan pelbagai perkara positif.


“Kita bermain sejak dari semalam di atas semangat kesukanan, semangat persaudaraan bukan sahaja untuk kita memperoleh hadiah ataupun piala.

"Tetapi yang penting ianya adalah satu acara bagi kita mewujudkan dan merapatkan silaturahim sesama kita khususnya di kalangan remaja dan anak muda,” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Penutup Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Yang Berhormat ADUN Batu Buruk 2018 di Taman Rekreasi Lagun, Chendering, kelmarin (20 Oktober 2018).

Hadir sama, Ahli Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Mohd Izzat Abdullah, Penolong Pegawai Belia, Sukan & NGO Pejabat Daerah Kuala Terengganu (PDKT), Syahril Yusof, Pengerusi Kelab Belia Sahabat Batu Burok Sejahtera (SAHABAT),Ustaz Nik Rosdi Nik Jusoh, serta seluruh Ahli Jawatankuasa Kejohanan dan pemain-pemain yang terlibat.

Tag: