• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

Berbaki RM3 Juta, Rebut Bantuan Modal Tani Segera

BESUT, 28 September – Rakyat Terengganu yang menceburi sektor pertanian diseru untuk merebut Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) dengan segera kerana peruntukan itu masih berbaki RM3 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, SBMT merupakan ‘kail dan umpan’ yang disediakan bagi kesemua peringkat umur rakyat dalam sektor pertanian, perikanan, penternakan dan industri asas tani.

"Untuk tahun ini, masih berbaki RM3 juta. Pinjaman maksimum sebanyak RM50,000 yang diberi dalam bentuk barangan.

"Barangan apa yang diperlukan boleh dicari sendiri, kerajaan akan bayar terus kepada pembekal. Ini kerana ingin mengelakkan timbul isu barangan yang diterima tidak sama dengan apa yang dimahukan," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kuliah Maghrib di Masjid Al-Furqan, Kampung Pak Demalik di sini semalam.

Katanya, dana di bawah kerajaan negeri itu disalurkan melalui Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK).

"Sehubungan dengan itu, sesiapa yang berminat perlu mendaftarkan diri sebagai ahli Peladang terlebih dahulu di PPK terdekat.

"Sebagai kerajaan kita mahu memudahkan supaya ia tidak membebankan rakyat. Pinjaman patuh syariah, tiada faedah sebab ia bukan hasrat kerajaan untuk berniaga. Cuma bila ia dibayar balik, boleh dibagikan kepada orang lain pula.

"Kaedah bayaran balik turut menggunakan kaedah yang tidak membebankan rakyat. Ia bergantung tempoh hasil yang dapat dituai atau diperolehi. RM1 juta sebulan yang perlu dihabiskan sebelum akhir tahun ini," tambah beliau.