KUALA TERENGGANU, 15 Julai- Buat julung kalinya, KMI Medical Centre dengan kerjasama pasukan berbasikal terkemuka negara, Terengganu Polygon Cycling Team menganjurkan acara berbasikal dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat kepada masyarakat setempat.
Pengurus Besar KMI Medical Centre, Salina Long berkata, setelah dua tahun tanpa sebarang aktiviti umum berikutan pandemik Covid-19, KMI Medical Centre kembali dengan pendekatan baru.
"Kalau ikutkan dahulu, setiap tahun kami adakan Run for Diabetes. Tetapi memandangkan suasana pandemik, telah dua tahun kita tiada aktiviti dan kini kami hadir dengan pendekatan baru iaitu acara berbasikal dengan sokongan pasukan berbasikal terkemuka.
"Lebih menarik, ia juga merupakan acara berbasikal pertama yang disertakan forum kesihatan," katanya.
Tambahnya, KMI Sport Forum merupakan sesi bersama pakar bedah tulang; Dr. Nik Mohd Fatmy Nik Mohd Najmi, pelumba profesional TSG; Goh Choon Huat dan pakar fisioterapi; Emee Al-Amin Ab Azizi untuk memberikan pendedahan tentang kecederaan-kecederaan yang biasa dialami oleh 'cyclist' dan cara rawatan serta kaedah yang ada untuk memberi pendedahan kepada umum.
Dalam program berkenaan, lebih 100 pelumba profesional dan amatur melakukan kayuhan sepanjang hampir 30KM di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus yang berakhir di KMI Medical Centre Kuala Terengganu, yang turut disertai Tengku Seri Bijaya Raja Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu.