• 02 Mei 2024 | 23 Syawal 1445

Berita Gembira, Tempoh Perniagaan Dilanjut Sehingga Malam Raya

Dr Alias Razak.
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Kerajaan negeri memberi kelonggaran kepada peniaga menjalankan perniagaan sehingga malam raya (4 Jun) dengan syarat tidak membiarkan sampah berselerak di premis perniagaan masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, ini bertujuan memudahkan petugas kebersihan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) memungut sampah dengan cepat agar mereka berpeluang berhari raya dengan keluarga seperti umat Islam lain pada hari raya pertama Aidilfitri.

"Kerajaan negeri amat berharap peniaga memberi kerjasama erat untuk menjaga kebersihan tempat perniagaan mereka selepas tamat jualan dibuat supaya bandaraya kita kekal bersih.

"Dan petugas kebersihan dapat menjalankan tugas dengan cepat dan sempat pula ke masjid dan surau untuk menunaikan solat hari raya Aidilfitri serta berhari raya dengan keluarga mereka seperti umat Islam lain," ujarnya.

Kerajaan negeri katanya, prihatin dengan masalah semua pihak termasuk peniaga berkenaan yang merungut kekurangan jualan dan petugas kebersihan MBKT yang tidak berpeluang berhari raya dengan baik sebelum ini kerana terpaksa bekerja sehingga pagi hari raya pertama.

"Justeru kerjasama peniaga menjaga kebersihan di tapak perniagaan masing-masing amatlah dituntut supaya tempoh lanjutan perniagaan itu dapat dipertimbangkan bagi tahun-tahun akan datang.

"Jika tidak kemungkinan kerajaan tidak lagi mempertimbangkan lanjutan tempoh itu di masa akan datang," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam Sidang Media Khas di pejabatnya di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Dr Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata, jika peniaga ingkar dengan syarat yang telah dipersetujui bersama, kerajaan negeri boleh mengenakan tindakan di bawah undang-undang membuang sampah merata-rata di tempat awam.

"Bagaimanapun kerajaan negeri mengharapkan pihak peniaga menunaikan janji mereka untuk tidak membuang sampah merata-rata selepas jualan dan kerajaan negeri pula tidak ada masalah menggunakan budi bicara untuk menunaikan kehendak peniaga berkenaan," ujarnya.

Terdahulu, kerajaan negeri telah menetapkan tempoh perniagaan sempena Ramadan tahun ini selama 29 hari bermula 6 Mei hingga 3 Jun (hari ini) bagi membolehkan petugas kebersihan MBKT menjalankan tugas dengan selesa dan kebajikan mereka untuk berhari raya dijaga dengan baik.

Peraturan tidak membenarkan berniaga di malam raya telah ditetapkan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

Tag: