Bidai Tradisional Hadapi Persaingan

KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Permintaan terhadap bidai tradisional buatan tangan didapati semakin berkurangan ekoran lambakan bidai sudah siap (dihasilkan dengan mesin) yang dipasarkan secara atas talian lebih menarik minat pembeli.

Perkara tersebut diakui pembuat bidai Mohd Syamsuddin Embong, 51, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, yang telah mengusahakan perusahaan itu (bidai tradisional) sejak lebih 30 tahun lalu.

“Saya merupakan generasi keempat dalam keluarga yang mengusahakan pembuatan bidai tradisional ini.

“Mulanya abang sulung yang mengusahakan perabot buat, selepas itu abang kedua, ketiga dan seterusnya saya ambil alih,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kedainya, baru-baru ini.

Menurut beliau, faktor ekonomi mendorong orang ramai memilih bidai sudah siap disebabkan harganya lebih murah berbanding bidai tradisional walaupun ia dibuat secara manual serta dijamin ketahanannya.

“Perusahaan bidai ini ibarat pembuatan songket tenunan tangan dan tenunan mesin.

“Kebanyakan pembeli akan pilih yang murah, tetapi bagi mereka yang tahu menghargai seni kerja tangan, akan menempah bidai tradisional yang lebih memberi kepuasan dan mengikut citarasa berikutan kualiti, warna dan ukuran boleh dipilih dan ditentukan sendiri.

“Kalau dulu tidak cukup tangan, namun alhamdulillah walaupun kini permintaan agak perlahan tetapi tetap ada pembeli yang datang ke kedai untuk tempah bidai dengan saya,” ujarnya.

Katanya, bidai yang dihasilkan berharga RM10 untuk sekaki persegi sekali dengan pemasangan.

“Bidai tradisional ini sesuai digunakan sebagai pelindung tidak kira ketika hujan mahupun panas.

“Sekiranya ada yang menempah kita akan mengambil ukuran dan memasangnya di rumah pelanggan,” ujarnya.


Tag: