• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Bilangan Pelancong Ke Terengganu Lebih 10 Juta

KUALA TERENGGANU, 25 Julai – Usaha Kerajaan Negeri dan pemain industri pelancongan membuahkan hasil apabila bilangan pelancong ke negeri ini meningkat sehingga 10.23 juta orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata pada tahun 2022, jumlah pelancong itu meningkat sehingga 175.2 peratus iaitu sebanyak 10.23 juta orang pelancong.

Katanya, berbanding pada tahun sebelumnya yang hanya menerima 3.7 juta orang pelancong.

“Sepanjang lima tahun mentadbir negeri, Terengganu berjaya mencatatkan tren peningkatan yang konsisten saban tahun apabila merekodkan kadar pertumbuhan KDNK sebanyak 2.5 peratus pada 2018, 3.3 peratus (2019), 3.7 peratus (2021) dan 5.9 peratus (2022).

“Sudah pasti industri pelancongan sedikit sebanyak memberikan sumbangan yang signifikan kepada peningkatan kadar pertumbuhan KDNK ini,” katanya melalui kenyataan di laman Facebook Rasmi miliknya semalam.

Tambah Ariffin, selari dengan data ini, Negeri Terengganu berjaya menggondol tujuh anugerah di dalam Majlis Anugerah Emas Lembaga Pelancongan Malaysia 2022 pada akhir Disember 2022.

“Segala hasil dan kejayaan di dalam industri pelancongan ini bertitik tolak antaranya daripada perlaksanaan Pelan Strategik Kelestarian Pelancongan Negeri Terengganu 2021-2025.

"Selain itu, ia turut membuktikan bahawa perlaksanaan Garis Panduan Hiburan, Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan tidak menjadi batu penghalang kepada kedatangan pelancong ke negeri Terengganu Darul Iman,” ujarnya.