• 21 Mei 2024 | 13 Zulkaedah 1445

Bomba Tumpu Pemeriksaan Pasar Raya Seluruh Terengganu


KUALA TERENGGANU, 12 Mei – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Terengganu memeriksa sebanyak 50 peratus pasar raya  dalam Program Keselamatan Kebakaran Bangunan di seluruh negeri ini bagi memastikan aspek keselamatan kebakaran dalam keadaan baik.

Timbalan Pengarah JBPM negeri, Sharikan Bustaman berkata, aspek keselamatan perlu dipertingkatkan bagi memastikan tahap keselamatan premis sentiasa dalam keadaan baik berikutan menjadi lokasi tumpuan ramai pada musim perayaan.

"Lazimnya pada bulan Ramadan premis pasar raya menjadi tumpuan orang ramai tetapi, di Terengganu ini jumlahnya tidak banyak dan Alhamdulillah kira-kira 50 peratus telah diperiksa setakat seminggu umat Islam berpuasa dan kerja-kerja pemeriksaan sempena Hari Raya Aidilfitri itu dijangka dapat diselesaikan pada minggu depan.

"Kebanyakan pasar raya yang diperiksa patuh kepada jadual penyelenggaraan yang ditetapkan untuk membolehkan mereka memperbaharui sijil kelayakan menduduki bangunan dan boleh dikatakan kesemuanya layak untuk mendapatkan sijil perakuan bomba," katanya.

Sharikan

Beliau berkata  kepada pemberita selepas program Jom Jengoh Sahur anjuran Pertubuhan Karyawan Kreatif Terengganu Darul Iman (Karyawan) dengan kerjasama Hotel Permai dan Hotel Primula di sini Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, di sini baru-baru ini.

Dalam program tradisi tahunan itu, sebanyak 200 pek makanan diagihkan kepada anggota JBPM Terengganu di samping pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, kakitangan Unit Kecemasan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) dan pengawal keselamatan.

Turut hadir, Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abdul Rahman dan Pengurus Besar Hotel Primula Beach Hotel, Suaibah Harun.

Sharikan memberitahu, dalam usaha JPBM mencapai sasaran sifar kebakaran pada musim perayaan kali ini, pihaknya turut mengadakan pelbagai program kesedaran awam di pasar malam dan bazar Ramadan bagi mendidik masyarakat mengenai bahaya kebakaran.


“Di samping itu juga, bomba turut memperkasakan kempen keselamatan di air di samping akan meningkatkan pengawasan bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini di kawasan tumpuan pelancong terutama di pantai,”ujarnya.

Tag: