lightning-solid
Berita :
Tunaikan Hak Negeri - ADUN Terengganu Tuntut Reformasi Federalisme
Tunaikan Hak Negeri - ADUN Terengganu Tuntut Reformasi Federalisme
Noraini Jusoh
11 Nov 25
309

KUALA TERENGGANU, 11 November – Kerajaan diminta mengkaji semula Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan pembahagian kuasa antara pusat dan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi berkata, struktur itu mesti disemak agar negeri mempunyai autonomi lebih adil dalam hal-hal hasil bumi, pentadbiran tempatan dan perancangan pembangunan.

“Kalau Sabah dan Sarawak boleh menuntut semakan hak perlembagaan mereka, mengapa tidak negeri-negeri lain?.

“Keadilan persekutuan mestilah menyeluruh bukan hanya untuk dua negeri istimewa, tetapi untuk semua negeri di Malaysia.

“Kita tidak minta keistimewaan, kita hanya menuntut keadilan yang dijanjikan oleh Perlembagaan. Itulah makna sebenar Malaysia yang bersatu, adil dan berdaulat,” tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam sesi perbahasan Belanjawan 2026 di Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Terdahulu, beliau menyatakan sumber Unsur Nadir Bumi (REE), FELDA dan LPT3 merupakan tiga isu besar yang membuktikan Negeri Terengganu masih dinafikan haknya yang sah. 

“Ini bukan isu teknikal semata-mata, tetapi soal keadilan persekutuan yang semakin pincang. Apabila pentadbiran pusat gagal menghormati mandat rakyat negeri, sistem federalisme itu sendiri kehilangan makna.

“Kita berbangga dengan prestasi negeri, tetapi kita tidak boleh menutup mata terhadap hakikat bahawa Terengganu masih terus dipinggirkan oleh kerajaan Persekutuan,” ujarnya.


Artikel Berkaitan