• 28 Apr 2024 | 19 Syawal 1445

Bukit Besi Jadi Hab Tarikan Baharu Acara Ekstrem


Faktor fizikal kawasan Bukit Besi, Hulu Dungun yang dahulunya terkenal sebagai kawasan pelombongan biji timah mempunyai potensi luas untuk diketengahkan sebagai destinasi pelancongan baharu di negeri ini, khususnya bagi penggemar sukan ekstrem.

Bukit Besi Rainforest Endurance Park (BBREP) yang mula dibuka sejak November lalu kini kian popular dan mampu menjadi tarikan ramai peminat aktiviti lasak seperti sukan kuda lasak, All Terain Vehicle (ATV), marathon, motocross, basikal mountain bike dan mature hiking.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Roslee Daud berkata, pihaknya kini giat berusaha untuk menerokai potensi pelancongan yang boleh diketengahkan supaya dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat selain tumpuan kepada aktiviti lasak seperti ATV dan basikal mountain bike.

Katanya, menjadi hasrat penduduk setempat supaya Bukit Besi membangun seperti zaman kegemilangannya yang pernah menjadi tapak perlombongan terkenal suatu ketika dahulu.

"Dengan adanya pusat eko-pelancongan seperti Bukit Besi Rainforest ini, ianya dapat memberi banyak kebaikan untuk orang tempatan seperti mewujudkan peluang pekerjaan kepada belia di kawasan sekitar.

"Banyak aktiviti yang sedang dirancangkan untuk merancakkan lagi kalendar pelancongan seperti kejohanan ATV yang terbuka kepada peserta dalam dan luar Terengganu,"katanya.


Beliau ditemui media dalam lawatannya ke Bukit Besi Rainforest Endurance Park, Tasik Puteri,  Bukit Besi, Dungun.

Turut hadir, Pengarah Tourism Malaysia Pejabat Negeri Terengganu, Zaleha Zainuddin dan Pengarah Urusan Alam Perkasa Technology, Mohamad Ngah.

BBREP mempunyai trek lasak serbaguna sepanjang 31 km yang digunakan untuk pelbagai aktiviti lasak sukan kuda lasak, ATV, marathon, motosikal lasak, basikal lasak dan sebagainya.

Tag: