• 27 Jul 2024 | 20 Muharam 1446

Cabaran 4x4 KBS Zon Timur Terima Sambutan Mengujakan

KUALA NERUS, 19 November- Penganjuran Malaysia Active Motorsport @ Cabaran 4x4 KBS Peringkat Zon Timur 2023 yang berakhir semalam, menjadi tumpuan apabila berjaya menghimpunkan penyertaan seramai 150 peminat kenderaan pacuan empat roda meskipun berlangsung dalam suasana hujan lebat.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, kehadiran peminat sukan permotoran itu dalam skala besar mampu mencapai objektif penganjuran iaitu memperkenalkan sukan pacuan empat roda di peringkat akar umbi dengan lebih dekat, selain memupuk ukhuwah di kalangan belia permotoran yang terdiri daripada berbilang kaum.

"Syabas kepada penganjur kerana dapat mengumpulkan seramai 150 peserta dari Zon Timur iaitu Terengganu, Pahang dan Kelantan, bahkan turut dihadiri peserta-peserta dari negeri-negeri lain. Sekalung tahniah kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menjayakan program ini.

"Saya melihat sukan ini memberi peluang peminat, penyokong dan pelumba tempatan untuk bersaing sebelum membuat susulan ke kejohanan yang lebih tinggi dan dapat mencungkil bakat-bakat pelumba baharu.

"Kepada yang menang, tahniah dan kepada yang belum menang, jangan cepat putus asa. jadikan kekalahan hari ini sebagai titik permulaan ke arah masa depan penuh gemilang," pesannya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan program berkenaan di Trek Kampung Bukit Datu, di sini semalam.

Turut hadir dalam program anjuran Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu dengan kerjasama Kelab Sukan Pancuan Empat Roda Ummah Terengganu itu adalah Timbalan Pengarah JBS Terengganu; Mohd Qayyum Rahman, Presiden Kelab Sukan Pacuan Empat Roda Ummah Terengganu; Muhammad Muzammil Mokhetar dan Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia; Presiden Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia.

 

 

 

 


Tag: