• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

Cabaran Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu Bermula

Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar semasa pelepasan peserta.
SETIU, 2 Mac - Cabaran Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong secara rasminya bermula hari ini.

Majlis pelepasan (flag off) bagi semua kategori pertandingan itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama dalam majlis pelepasan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Mohd Azhar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Kejohanan tersebut mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 80 km Concours de Raid D' Endurance International (CEI) serta 80 km dan 40 km Concours de Raid D' Endurance National (CEN).
Peserta-peserta bersaing untuk merebut kejuaraan.

Menurut Ketua Sekretariat Kejohanan, Faridah Md Ali, acara tahunan yang bermula sejak 2017 ini menyediakan hadiah yang lumayan buat peserta.

Jelasnya, peserta terbaik yang berjaya menamatkan acara akan menerima hadiah secara individu dan berkumpulan.

"Kejohanan ini merupakan acara tahunan yang bermula sejak 2017.

"Bagi acara CEI 80 km, setiap peserta yang menamatkan acara di tempat pertama hingga kelima akan menerima hadiah, manakala bagi kumpulan, 3 terbaik bakal menerima hadiah.

"Juara individu bagi kategori itu akan menerima RM 3,500, manakala juara untuk berkumpulan pula akan membawa pulang RM 5,000," katanya.

Kejohanan yang melibatkan seramai 90 peserta dari dalam dan luar negara itu akan berlangsung selama dua hari.
Kuda termuda kejohanan berumur 6 tahun.

Acara penyampaian hadiah akan berlangsung esok sejurus selepas acara bagi ketiga-tiga kategori itu berakhir.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan berangkat mencemar duli untuk menyampaikan hadiah buat para pemenang esok.



Tag: