Berita :
Cabaran Labuh Tukun 17 Tan: 'Silap Langkah, Kren Boleh Jadi Tukun Di Dasar Laut'
Cabaran Labuh Tukun 17 Tan: 'Silap Langkah, Kren Boleh Jadi Tukun Di Dasar Laut'
Hidayah Azlin
5 jam yang lepas
51

KUALA TERENGGANU, 5 Julai – Mengendalikan operasi kren di tengah-tengah lautan bagi melabuhkan tukun tiruan bukanlah satu tugas yang mudah, malah ia menuntut ketelitian dan ketepatan berkali ganda berbanding operasi di daratan.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri Terengganu, Dato’ Dr. Azman Ibrahim mendedahkan, risiko tinggi sentiasa menanti kru bertugas memandangkan setiap unit tukun yang dilabuhkan mempunyai berat mencecah kira-kira 17 tan.

Menurut beliau, keadaan laut yang bergelora sering menjadi cabaran utama dalam memastikan kestabilan kren yang beroperasi di atas sebuah bot tunda rata (barge).

"Laut yang bergelora menjadikan kren tidak stabil, ditambah pula dengan berat setiap unit tukun kira-kira 17 tan. Tukun-tukun ini perlu dilabuhkan tepat pada koordinat yang telah ditentukan," katanya menerusi satu kenyataan.

Mengulas lanjut mengenai teknikal operasi, Dr. Azman menjelaskan bahawa kabel kren akan dilepaskan menggunakan sistem pelepasan automatik (auto release system) bagi memastikan proses pelabuhan berjalan lancar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan faktor cuaca tidak boleh dipandang remeh dan operasi wajib dihentikan serta-merta sekiranya keadaan laut bertukar ekstrem.

"Apabila cuaca tidak mengizinkan dan laut bergelora, operasi kren wajib dihentikan. Risikonya, kren boleh bertukar menjadi tukun di dasar laut," ujarnya.

Menceritakan pengalaman getir yang pernah dilalui pasukan tersebut, faktor cuaca yang tidak menentu kadangkala mereka terperangkap di tengah laut demi keselamatan.

"Pernah pasukan kami terpaksa bermalam selama dua malam di lautan menunggu ribut reda. Prinsip kami, bila sudah keluar ke laut, kita tidak akan berpatah balik semula," tambah beliau lagi.

Dalam pada itu, Dr. Azman turut menzahirkan rasa syukur atas komitmen dan kecekapan seluruh pasukannya yang telah mengendali tugas berat tersebut sejak tahun 2018.

Malah katanya, dedikasi pasukan itu telah berjaya melabuhkan ratusan unit tukun setiap tahun demi memperkayakan sumber marin di perairan negeri.

"Alhamdulillah, kami sudah buat kerja-kerja ini dari tahun 2018 lagi. Melabuhkan ratusan unit tukun setahun.
"Allah telah memelihara kami daripada sebarang kecelakaan. Dengan izin-Nya, kerja-kerja dapat disempurnakan sebaiknya," katanya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan