• 26 Apr 2024 | 17 Syawal 1445

'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar

MARANG, 9 Februari - Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan tersebut sebelum akhir bulan ini.

"Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan permulaan agihan sebanyak 10 unit telefon pintar dan 100 tambah nilai internet kepada pelajar kurang berkemampuan di Marang bagi fasa pertama.

“Hari ini, program diteruskan lagi dengan agihan 20 unit telefon pintar untuk diserahkan kepada pelajar yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Marang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong, SMK Tengku Lela Segara serta SMK Seberang Marang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Telefon Pintar oleh Pejabat Daerah Marang kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di Pejabat PINTAR, DUN Alur Limbat, hari ini.

Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak.

Katanya, Program Cakna Didik Marang Hebak yang digerakkan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Marang, syarikat swasta serta individu itu akan diteruskan untuk fasa ketiga pada 16 Februari ini dengan agihan sebanyak 20 unit telefon pintar kepada pelajar memerlukan di setiap DUN di daerah Marang ini.

“Diharapkan ini bukan yang terakhir dan kita mengalu-alukan syarikat korporat serta orang perseorangan tampil menyumbang untuk meneruskan program yang sangat baik ini,” ujarnya.

Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu dan kesukaran yang dihadapi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menjalani pdPR ketika ini.

“Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat 2021 (BERKAT) yang merangkumi bantuan 1,600 tablet kepada pelajar miskin serta tambah nilai internet RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM2,500.

“Bantuan seumpama ini akan membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan khususnya untuk menjalani PdPR serta dapat meringankan beban ibu bapa untu kmemastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam norma baharu ini,” ujarnya.