• 06 Mei 2024 | 27 Syawal 1445

CCTV Lif Pangsapuri Ladang Tok Pelam Terengganu Sedang Dipasang

Pangsapuri Ladang Tok Pelam kini dipasang CCTV di dalam lif untuk memantau keselamatan pengguna bangunan tersebut. 
KUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) sedang giat menjalankan kerja-kerja pemasangan TV Litar Tertutup (CCTV) bagi memantau keselamatan pengguna lif Pangsapuri Ladang Tok Pelam di sini.

Notis yang ditampal di beberapa lokasi di pangsapuri itu menyatakan bahawa kerja-kerja itu berkait dengan pemasangan kabel pembekal kuasa elektrik dari bilik motor lif ke tingkat bawah bangunan tersebut.

Tempoh penambahbaikan itu berlangsung selama lebih dua minggu bermula 1 hingga 15 Ogos ini.
 
Notis ditampal di tempat strategik di bangunan Pangsapuri ladang Tok Pelam bagi makluman orang ramai.
Orang ramai diminta memberi kerjasama untuk melancarkan kerja-kerja  tersebut.

Kerja-kerja itu dibuat berikutan cadangan kerajaan negeri memasang CCTV di dalam lif pangsapuri berkenaan bagi mengawal keselamatan pengguna agar tiada kejadian tidak diingini berlaku di pangsapuri tersebut.

PMINT ditugaskan sebagai pengurus selia lif bangunan 30 tingkat itu. Pangsapuri itu mempunyai 407 unit rumah berkeluasan 842 kaki persegi setiap unit.

Semalam Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri mengesahkan tiada sebarang kejadian lif terputus seperti di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Kerinchi Kuala Lumpur di negeri Terengganu.

Katanya, lif di PPR Kampung Kerichi adalah lif lama serta perumahan dan lif itu sudah wujud berpuluh-puluh tahun lalu.

Sementara itu, perumahan bertingkat yang menggunakan lif di Terengganu kebanyakannya baru dibina termasuk Pangsapuri Ladang Tok Pelam dan PPR Padang Hiliran di sini.

Katanya, lif di bangunan tersebut diselenggara mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.


"Setakat ini tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku seperti di Kampung Kerinchi itu, namun kerajaan sentiasa memantau semua lif perumahan di negeri ini supaya diselenggara mengikut SOP yang telah ditetapkan kerajaan," katanya ketika dihubungi semalam.

Tag: