• 05 Mei 2024 | 26 Syawal 1445

‘Corporate Directors' Programme’ Langkah Tingkatkan Produktiviti GLC Terengganu

Ahmad Samsuri (dua dari kiri) hadir mendengar syarahan Tan Sri Abdul Wahid.

KUALA TERENGGANU, 21 April - '
Corporate Directors' Programme' (CDP) 2019 yang bermula hari ini bertujuan untuk meningkatkan produktiviti syarikat perniagaan di bawah kumpulan tersebut.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, prestasi pentadbiran akan mencapai tahap tertinggi apabila setiap warga kerja mempunyai ilmu yang berkualiti untuk menguruskan syarikat.

Katanya, pengurusan tertinggi syarikat juga akan mendapat maklumat baharu mengenai pertambahan dan pembaharuan undang-undang tertentu dalam urusan perniagaan.

“Program hari ini sebahagian daripada usaha kerajaan negeri bersama dengan Terengganu Inc untuk memastikan semua ahli lembaga pengarah dan pengerusi-pengerusi dibekalkan dengan ilmu yang mencukupi dalam mereka menjalankan tugas.

“Ditambah pula dengan ada perubahan ‘Companies Act’ yang memerlukan mereka mendapat makluman baru dan pengetahuan tentang apa yang dikategorikan sebagai rasuah dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” ujarnya.
Syarahan Tan Sri Abdul Wahid cipta harapan baru.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas hadir dalam Majlis Corporate Talk Terengganu Inc bersempena program itu di Duyung Marina & Resort, di sini hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Tan Sri Abdul Wahid Omar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai-Pegawai Kanan Kerajaan Terengganu, Ahli-Ahli Parlimen Terengganu, Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, Pengerusi serta Ahli Lembaga Pengarah Anak Syarikat Terengganu Inc.

Ahmad Samsuri turut berkata, program berbentuk taklimat itu juga bakal melahirkan kumpulan pengurusan yang berkualiti tinggi dalam mendepani arus ekonomi yang tidak menentu.

Secara tidak langsung ia akan memacu ekonomi syarikat dan negeri ke arah yang lebih menguntungkan pada masa akan datang.
Pegawai kanan kerajaan negeri tekun mendengar.

“Taklimat daripada pelbagai agensi ini adalah untuk meningkatkan kompetensi untuk menjadi seorang ahli lembaga pengarah ataupun pengerusi di syarikat masing-masing,” tambah beliau.

Tag: