• 20 Apr 2024 | 11 Syawal 1445

COVID-19 : RM4.38 Juta Bantu Peniaga Terjejas

 

KUALA TERENGGANU, 15 Oktober— Kerajaan negeri melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu Covid-19 menyalurkan  peruntukan sebanyak RM4.38 juta dibawah Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) kepada 333 usahawan di negeri ini yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif YPU, Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata peruntukan melalui Tabung Pemulihan PKS Terengganu COVID 19 ini merupakan pinjaman patuh syariah tanpa riba yang mana bayaran balik adalah dalam tempoh lima tahun.

“Pembiayaan pinjaman adalah antara RM5,000 hingga RM50,000 setiap usahawan bergantung kepada tahap kerugian yang dialami dan prosesnya dipermudahkan tanpa memerlukan penjamin dari pihak peminjam

"Pinjaman khas ini diharap dapat memberi ruang untuk usahawan menyusun semula strategi perniagaan yang telah terjejas agar mampu bertahan dan bangkit semula bagi tempoh pasca COVID-19," katanya.

Sementara itu, Ahmad Farhan berkata YPU terpaksa membatalkan beberapa program yang melibatkan kempen promosi perniagaan usahawan Terengganu berikutan peningkatan mendadak kes COVID-19 sejak akhir-akhir ini.

Jelasnya, program-program yang berskala kecil masih diteruskan bagi membantu usahawan-usahawan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

“Contohnya seperti yang berlangsung baru-baru ini iaitu Program Jualan Malaysia dan Kempen Beli Barangan Malaysia Terengganu yang berlangsung pada 24 hingga 27 September lepas.

"Jualan melibatkan 41 usahawan itu berjaya merekodkan jualan sebanyak RM87,720.20 bagi tempoh empat hari,”ujarnya.