• 24 Apr 2024 | 15 Syawal 1445

'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'

KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT).

Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian.

Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital.

“Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

“Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita. 

Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.

Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka.

“Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.