Berita :
Dana Penyelidikan Sejarah Alam Melayu Perlu Diperkasa – Profesor Solehah
Dana Penyelidikan Sejarah Alam Melayu Perlu Diperkasa – Profesor Solehah
Rohayati Ripin
05 Apr 26
9

KUALA NERUS, 8 April– Ahli akademik, Profesor Dr Solehah Yaacob mencadangkan agar kerajaan menyediakan lebih banyak dana dan geran penyelidikan khusus bagi mengkaji semula sejarah Alam Melayu berasaskan sumber tempatan serta bukti yang sahih.

Menurut beliau, langkah itu penting bagi mengelakkan kebergantungan berterusan terhadap naratif sejarah yang dibina oleh pihak luar.

“Jika kita tidak bertindak, kita akan terus bergantung kepada naratif yang dibina oleh pihak luar. Sudah tiba masanya kita bangkit dan menilai semula sejarah kita sendiri,” katanya.

 Beliau yang juga panel tokoh sejahtera berkata demikian dalam sidang media selepas program Wacana Alam Melayu dan Ketamadunan Islam di Perkarangan Stadium Gong Badak, di sini. 

Dr Solehah turut menegaskan bahawa kekuatan sesebuah bangsa bergantung kepada keupayaan mempertahankan identiti dan sejarahnya, sebagaimana yang ditunjukkan oleh negara seperti Iran, Turki dan China yang terus memelihara tamadun masing-masing.

Dalam pada itu, beliau menekankan keperluan penyelidikan yang lebih menyeluruh oleh sarjana tempatan.

“Kita sebagai orang Melayu Islam perlu meneliti semula sejarah. Kajian telah dijalankan dan terdapat bukti yang bercanggah dengan naratif sedia ada. Jadi apakah tindakan kita? Kita mesti melakukan sesuatu,” ujarnya.

Beliau turut mencadangkan penganjuran lebih banyak persidangan ilmiah seperti Ijtimak Alam Melayu bagi membincangkan garis masa dan perkembangan sebenar tamadun Melayu.

Profesor Solehah juga memuji penganjuran wacana ilmiah berkaitan sejarah dan tamadun Alam Melayu, sambil berharap program seumpama itu diteruskan secara konsisten.

Menurutnya, program sedemikian mampu memperkukuh jati diri masyarakat dengan memberi ruang untuk memahami sejarah dan warisan tamadun bangsa secara lebih tepat.

“Ini adalah program yang membina kesedaran serta keyakinan terhadap identiti Melayu,” katanya.

Beliau menambah, usaha berterusan perlu dilaksanakan bagi memastikan generasi akan datang dapat menilai sejarah secara objektif dan bebas daripada sebarang penyelewengan naratif.

“Insya-Allah, jika diteruskan, program sebegini akan memberi impak positif kepada pemerkasaan jati diri dan kesedaran sejarah masyarakat Melayu,” ujarnya.


Tag :

Ketupat

Artikel Berkaitan