• 29 Apr 2024 | 20 Syawal 1445

Dekati Semua Tanpa Pilih Kasih




Oleh : Adli Mohamad

DUNGUN, 11 Jun- Menjadi wakil kepada rakyat sama ada bergelar Yang Berhormat (YB) ataupun pegawai penyelaras di bawah kerajaan negeri memerlukan pendekatan tidak pilih kasih bagi memberi kebaikan kepada semua masyarakat.

Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketelusan, keadilan serta rasa bertanggungjawab dengan amanah menjadi teras untuk beliau berperanan dalam membantu penduduk yang diwakilinya.

"Di samping itu juga, kita mengurangkan protokol agar rakyat lebih selesa untuk bertemu dengan kita, tanpa mengira tempat kita sedia mendengar bukan hanya terbatas di pejabat bahkan di mana-mana sahaja termasuk warung.

"Kita pun faham dengan keadaan dan suasana masyararakat disini, yang semuanya boleh dikatakan orang kampung yang tidak selesa pada pertemuan yang formal," jelasnya.

Beliau berkata demikian, ketika ditemui pihak media, sejurus selesai menyampaikan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kepada mangsa kebakaran, di Al-Mukatafi Billah Shah (AMBS), di sini semalam.

Menurut Ghazali, bagi memberi keselesaan kepada semua penduduk, sesi pertemuan dan soal jawab menjadi keutamaan beliau yang secara tidak langsung mampu menyelesaikan masalah berbangkit seperti isu tanah.



"Yang mana ia (tanah) adalah isu yang telah lama, dan penduduk mengharapkan mendapat pembelaan semula di bawah kerajaan yang baru memerintah.

"Kita pun telah menyenaraikan nama-nama mereka yang terlibat dengan tanah terkilan untuk kita kumpulkan mereka, serta kita telah mengenal pasti beberapa tanah di kawasan Bukit Besi ini yang akan kita umumkan kemudian," jelasnya.

Di samping itu juga, beliau bertekad untuk mengeluarkan penduduk DUN Bukit Besi daripada belenggu kemiskinan dengan mengaturkan beberapa program pertanian dan keusahawanan.

"Di mana kita tahu pertanian begitu sinonim dengan penduduk di sini, pada sebelum ini kita telah pun memanggil jabatan dan agensi yang berkait dengan pertaniaan dan keusahawan.

"Mungkin selepas ini kita akan adakan program-program susulan yang berbentuk kursus yang bersiri.

"Itulah diantara tekad saya sebagai pihak yang diamanahkan oleh kerajaan Negeri Terengganu sepanjang bergelar penyelaras bagi memastikan tercapainya impian dan hasrat kerajaan Negeri Terengganu," jelas beliau.


Tag: