lightning-solid
Berita :
Azbi Desak Naik Taraf Segera Jeti Kuala Besut
Azbi Desak Naik Taraf Segera Jeti Kuala Besut
Rohayati Ripin
12 Nov 25
337

KUALA TERENGGANU, 12 November – Kerajaan negeri digesa memberi perhatian serius terhadap keperluan menaik taraf kemudahan asas di Jeti Pelancongan Pekan Kuala Besut, yang menjadi pintu gerbang utama ke Pulau Perhentian.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata, kelewatan menaik taraf jeti berkenaan boleh menyebabkan Kuala Besut kehilangan kelebihan strategiknya kepada Jeti Tok Bali di negeri jiran, sekali gus menjejaskan ekonomi tempatan dan pendapatan pengusaha bot pelancong.

“Saya mengharapkan penambahbaikan kemudahan asas di jeti pelancongan Pekan Kuala Besut dapat dilaksanakan segera. Jeti ini merupakan pintu gerbang pelancongan negeri, dan jika kita tidak bertindak, Kuala Besut akan terus berdepan persaingan daripada Jeti Tok Bali,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan Terengganu 2026, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu,  Wisma Darul Iman, semalam.

Azbi turut menegaskan keperluan kerajaan negeri menggerakkan sinergi pelbagai pihak bagi menjayakan Tahun Melawat Terengganu 2027 dan memastikan kebersihan fasiliti, produk serta perkhidmatan pelancongan khususnya di Pulau Perhentian terus berada pada tahap tertinggi.

Justeru itu, beliau turut menyeru agar pembangunan sektor pelancongan di Kuala Besut diberi perhatian menyeluruh kerana ia bukan sahaja menyumbang kepada imej negeri, tetapi juga membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan menjana hasil untuk rakyat setempat.


Tag :

Artikel Berkaitan